Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Pejabat Peguam Negara, kelmarin, telah menerima kunjungan muhibah delegasi International Cooperation Bureau of the Supreme People’s Procuratorate, Republik Rakyat China yang diketuai oleh Ketua Pengarah, Guo Xingwang, di Bangunan Undang-undang, di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara, ketibaan delegasi berkenaan dialu-alukan oleh Penolong Peguam Cara Negara, Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan para pegawai kanan dari Pejabat Peguam Negara.
Menurut kenyataan itu lagi, Guo Xingwang dalam kata alu-aluannya bagi pihak Prosecutor General, Supreme People’s Procuratorate Republik Rakyat China, Profesor Cao Jianming menyatakan penghargaan kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam atas sokongan berterusan terhadap Persidangan Pendakwa Raya China-ASEAN yang diadakan setiap tahun dan menjadi mekanisme kerjasama pelbagai hala serantau serta antarabangsa dalam bidang pendakwaan.
Sementara itu, Haji Abdullah Soefri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Supreme People’s Procuratorate Republik Rakyat China atas komitmen dan sokongan berterusannya kepada persidangan tahunan yang mula diadakan pada 2004 serta menjadi platform yang baik bagi pertukaran idea dan membolehkan China dan ASEAN berkongsi serta bertukar-tukar idea dan amalan serta kaedah terbaik untuk menangani jenayah terancang merentas sempadan dan untuk membangunkan keupayaan kerjasama undang-undang antarabangsa yang lebih baik.
Kenyataan itu juga menyatakan bahawa kedua-dua belah pihak menumpukan perbincangan kepada persiapan bagi Persidangan Pendakwa Raya China-ASEAN ke-11 yang akan diadakan di Bandar Seri Begawan pada 2018.

Dengan peningkatan jenayah merentas sempadan, Pejabat Peguam Negara mengambil kesempatan semasa majlis itu untuk menyatakan kepada delegasi bahawa tema yang dicadangkan bagi persidangan itu nanti adalah ‘Meningkatkan Keupayaan dan Kerjasama Menangani Jenayah Siber’. Di samping itu, inisiatif lanjutan bagi mengukuhkan lagi pertukaran maklumat di antara kedua-dua pihak menerusi China-ASEAN Prosecutors Exchange and Training Base turut dibincangkan.
Delegasi dari China itu juga mengambil peluang untuk menyampaikan jemputan daripada Profesor Cao Jianming kepada Peguam Negara Brunei Darussalam dan delegasinya untuk menghadiri Persidangan International Association of Prosecutors ke-22 yang akan diadakan dari 10 hingga 15 September di Beijing.
Majlis kunjungan muhibah berkenaan berakhir dengan kedua-dua belah pihak bertukar-tukar cenderahati.
Menurut kenyataan berkenaan lagi, Negara Brunei Darussalam telah menyertai Persidangan Pendakwa Raya China-ASEAN sejak ia ditubuhkan pada 2004 yang bermatlamat untuk mempromosi pembangunankapasiti bagi badan-badan pendakwaan serantau dalam membanteras jenayah merentas sempadan.
Pada 2002, Pejabat Peguam Negara dan Supreme People’s Procuratorate Republik Rakyat China telah menandatangani memorandum persefahaman dalam bidang kerjasama dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua pejabat dalam bidang bantuan undang-undang bersama, latihan dan pertukaran maklumat.