COLOMBO, 13 JULAI – Para pembantah di Sri Lanka telah mengingkari amaran gas pemedih mata, meriam air dan perintah darurat dengan menyerbu pejabat perdana menteri hari ini selepas presidennya melarikan diri ke luar negara, dengan khalayak ramai menuntut kedua-dua lelaki berkenaan meletak jawatan disebabkan krisis ekonomi.
Dalam kenyataan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe yang disiarkan di kaca televisyen, dia telah mengarahkan tentera dan polis untuk melakukan ‘apa saja yang perlu bagi memulihkan keadaan itu’.
Namun rakaman menunjukkan anggota pasukan keselamatan bersenjata hanya berdiri mengawal di lapangan pejabatnya ketika para penunjuk perasaan, ada yang memegang bendera negara, berlegar-legar sambil mengambil gambar.
Sebilangan penunjuk perasaan yang lain juga memasuki studio televisyen negara, ketika krisis politik yang ekonomi negara itu kelihatannya akan mendorong ke puncaknya.
Presiden Gotabaya Rajapaksa telah berjanji pada hujung minggu untuk meletak jawatan hari ini selepas lari dari kediaman rasminya di Colombo sejurus sebelum puluhan ribu pembantah menaklukinya.
Sebagai presiden, Rajapaksa mendapat imuniti daripada ditangkap dan dia dipercayai mahu pergi keluar negara sebelum meletak jawatan untuk mengelak daripada sebarang kemungkinan ditahan.
Isterinya yang berusia 73 tahun dan dua pengawal peribadinya telah menaiki pesawat tentera ke negara jiran Maldives, kata sumber imigresen kepada AFP.
Beberapa jam kemudian, tanpa pengumuman rasmi dia telah meletak jawatan, ribuan penunjuk perasaan menyerbu pejabat Wickremesinghe – yang Rajapaksa lantik sebagi pemangku presiden semasa ketiadaannya – dengan menuntut peletakan jawatan kedua-duanya.
“Pergilah pulang Ranil, Gota,” jerit mereka.
Gas pemedih mata dan meriam air yang ditembakkan oleh polis dan deklarasi darurat dan perintah berkurung gagal untuk menyuraikan mereka manakala khalayak ramai memenuhi bangunan tersebut.
Wickremesinghe yang juga berusia 73 tahun, akan secara automatik menjadi pemangku presiden jika Rajapaksa meletak jawatan, namun dia juga mengumumkan kesediaannya untuk meletak jawatan jika konsensus dicapai dalam membentuk kerajaan perpaduan.
“Kita tidak boleh menghancurkan perlembagaan kita. Kita tidak membenarkan orang fasis untuk berkuasa. Kita harus menamatkan ancaman fasis kepada demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah, bangunan-bangunan rasmi yang diduduki oleh para pembantah perlu dipulangkan kepada kawalan kerajaan. – AFP