JAKARTA, 22 SEPT – Pembinaan pejabat presiden Indonesia di ibu negara baharunya, Nusantara di Pulau Borneo, kini siap 38 peratus, kata Presiden Joko Widodo.
Presiden itu melawat tapak pembinaan bangunan itu hari ini yang memaparkan reka bentuk burung Garuda dengan sayap melebar, di Kabupaten Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur.
Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi, naik ke tingkat atas bangunan itu dan secara simbolik meletakkan struktur modul pertama Garuda yang berperanan sebagai simbol bangunan itu.
Menurut Jokowi, pelbagai projek infrastruktur di ibu negara baharu itu berjalan lancar seperti yang dirancang, termasuk pejabat presiden, istana presiden, dan bangunan kementerian, yang kesemuanya berjalan mengikut jadual. – Bernama
