Pejuang Palestin, Israel setuju laksana gencatan senjata

BANDARAYA GAZA, 25 FEB – Kumpulan pejuang Palestin dan rejim Israel mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata pada Isnin, selepas keadaan tegang di Semenanjung Gaza selama dua hari, lapor agensi berita Anadolu.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 11.30 malam, menurut maklumat yang diperoleh daripada seorang pegawai kumpulan pejuang Palestin. Bagaimanapun, sumber itu tidak memberikan butiran lanjut.

Sementara itu, sekurang-kurangnya lapan penduduk Palestin cedera dalam serangan terbaru Israel di Gaza, kata jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Kudra dalam satu kenyataan.

Ketegangan memuncak sejak beberapa hari lalu antara rejim Isreal dengan kumpulan pejuang Palestin di Gaza. – Bernama