Peka isu penyakit jantung

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Syarikat VAM(R) BRN Sdn Bhd dengan usaha sama Gleneagles, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah menganjurkan taklimat mengenai ‘Kesedaran Penyakit Jantung’ bagi warga syarikat berkenaan, hari ini.

Lebih 50 orang pegawai dan kakitangan menghadiri ceramah kesihatan jantung berkenaan yang berlangsung di syarikat berkenaan di Pusat Industri Tanah Jambu.

Ia merupakan antara inisiatif syarikat untuk memberikan yang terbaik kepada pegawai dan kakitangan mereka dan sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat.

Taklimat juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan jantung kepada orang ramai, yang mana penjagaan jantung serta cara pencegahan adalah sangat mustahak untuk semua.

Taklimat disampaikan oleh Konsultan Pakar Bedah Kardiotoraks, Dr Awangku Muhammad Nadzir bin Pengiran Mohammad Juanda yang menyentuh beberapa perkara antaranya tentang risiko-risiko penyakit jantung.

Kakitangan syarikat berkenaan juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan semasa sesi taklimat berkenaan.

Beliau juga berkongsi pengetahuan mengenai penyakit jantung khususnya penyakit arteri koronari, cara-cara untuk mencegahnya dan rawatan yang digunakan untuk merawat pesakit jantung.

Ketika ditemu bual, beliau berkata, kes penyakit jantung kini semakin meningkatkan, di mana pada tahun lepas sahaja kematian yang disebabkan kegagalan jantung telah mencapai hampir 2,000 orang.

Kini kes penyakit jantung sudah menjadi trend, dan sangat membimbangkan yang mana di Negara Brunei Darussslam, pesakit-pesakit yang dikenal pasti menghidap penyakit jantung adalah dalam kalangan umur 30 hingga 40 tahun ke atas dan ini harus dibendung.

Dengan adanya taklimat seperti ini, ia akan dapat memberikan lagi pengetahuan secara lebih meluas.

Semasa taklimat sempena Hari Jantung sedunia itu Gleneagles JPMC juga menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk warga VAM BRN yang hadir.