Pekan Spaoh bakal berkembang sebagai pusat pertanian moden – Uggah

KUCHING, 21 SEPT – Pekan Spaoh yang terletak di daerah Betong, Sarawak, mungkin kurang dikenali ketika ini, namun dalam beberapa tahun akan datang pekan kecil itu dijangka dipenuhi pelbagai aktiviti yang dapat meningkatkan pendapatan penduduk.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Spaoh bakal menjadi pusat pertanian moden, khususnya susulan rancangan beliau untuk membina lapangan terbang berlandasan pendek bagi membantu pertumbuhan pekan itu.

“Lokasinya di kawasan Bakul Makanan Betong/Mukah dan Agropolitan Sadok, kekuatan Spaoh ialah pertanian moden kerana kawasan ini memiliki tanah yang sangat luas. Itulah sebabnya kerajaan mahu menyediakan sebuah lapangan terbang berlandasan pendek bagi mengangkut

produk makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini, susulan lawatan beliau ke kawasan tersebut baru-baru ini.

Selain pertanian sebagai teras ekonomi utama di kawasan itu, beliau berkata lebih banyak tanah diperlukan di Spaoh untuk mewujudkan kawasan komersial baharu, klinik, bangunan kerajaan serta perumahan awam. – Bernama