‘Pekasam barat’ makanan istimewa di Sweden

SODERHAMN, SWEDEN – Setiap negara di dunia ini memiliki keunikannya tersendiri. Dari budaya hinggalah berkaitan dengan makanan membuatkan sesebuah negara itu berbeza dari negara-negara lain.

Oleh sebab keunikan makanan sesebuah negara itu menjadikan satu tarikan kepada orang ramai khususnya pelancong yang mengunjungi negara tersebut. Namun, dalam keunikannya bukan hanya dari segi gaya ia dihidangkan, cara ia dimasak serta bahan yang digunakan.

Malah keunikan ini boleh saja terserlah melalui rasa dan bau pada makanan tersebut sehinggakan ia bolehkan dikatakan sebagai satu cabaran untuk orang yang pertama kali merasanya sama ada berani atau sebaliknya. Dalam masa yang sama pengalaman merasanya boleh dikongsikan melalui media sosial.

Di Sweden sendiri terdapat satu makanan yang boleh dikatakan unik. Semasa cef Malin Soderstrom membuka tin, udara yang terperangkap di dalamnya terlepas dengan bunyi desir dan memenuhi ruang beranda restorannya di pinggir air dengan bau menusuk hidung, makanan istimewa yang amat terkenal di Sweden iaitu surstromming.

Disamakan dengan bau telur busuk, surstromming – ikan hering ditapai – telah memperoleh pengikut dalam internet di mana penggemar makanan yang berani merakamkan diri mereka mencuba makanan laut itu, yang harus dibuka di luar rumah disebabkan bau busuk itu, dan sebaik-baiknya dalam air di baldi.

Restoran milik cef Malin Soderstrom di Skarsa utara Stockholm. – AFP
Gambar menunjukkan beberapa tin surstromming. – AFP

Isi kandungan di dalam tin surstromming yang sudah dibuka. – AFP
Cef Malin Soderstrom menyediakan bahan seperti tomato, daun dill dan kucai untuk bahan hidangan bersama surstromming. – AFP

Dari restorannya di pinggir air di kampung nelayan kecil Skarsa yang terletak lebih 200 kilometer dari utara Stockholm di mana sebuah kilang pemprosesan ikan hering wujud, Soderstrom cuba mempertahankan reputasi makanan istimewa itu.

“Rasa masam dengan masin bersama dengan roti, ubi kentang dan mentega dan bawang, ia sungguh hebat,” kata wanita berusia 51 tahun di luar restoran, dalam pakaian seragam cef hitam.

Datuk nenek Soderstrom tinggal di salah sebuah rumah kayu nelayan berwarna merah di kampung berhampiran air dan beliau memakan surstromming, secara langsung diterjemah sebagai ‘ikan hering masam’, sejak beliau masih kecil lagi.

Ikan hering yang ditangkap di Laut Baltik dibubuh garam selepas ditangkap dan dibiarkan dijadikan pekasam selama beberapa bulan dalam tong sebelum ditinkan.

Surstromming datang dari utara Sweden, di mana ia biasa dimakan, tetapi tin makanan laut itu boleh diperoleh dari kebanyakan pasar raya besar di seluruh Sweden.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebuah muzium telah didedikasikan kepada masakan itu, dan sesetengah restoran mendedikasikan masa seharian memakannya untuk mengelak menyinggung pelanggan lain.

Namun dengan pelanggan berkurangan disebabkan COVID-19, Soderstrom dan adik perempuannya Anna membatalkan hari surstromming mereka sendiri pada tahun ini.

Sebaliknya, mereka menganjurkan satu demonstrasi kecil menunjukkan cara-cara hidangan itu seharusnya dinikmati, menjemput beberapa kawan dan rakan sekerja untuk merasa masakan istimewa itu.

Membuka tin jauh dari meja mereka, Soderstrom menyajikannya kepada pelawat di atas roti pita Sweden bersama dengan hirisan bawang merah, ubi kentang rebus, daun kucai, krim masam dan keju keras.

Berehat dari dapur, cef berusia 25 tahun, Joseph Netzler mencuba ikan itu untuk kali pertama, menghidunya dengan was-was sebelum merasanya dengan roti keras, daun kucai dan ubi kentang.

“Ia berbau jauh lebih baik daripada disangka, dan rasanya juga enak. Rasanya agak kuat, seperti umami,” katanya, sambil duduk di beranda restoran menghadap pelabuhan kecil kampung.

“Saya fikir saya sudah puas hati untuk seketika,” katanya, tetapi menambah beliau mungkin mencubanya sekali lagi dalam ‘masa satu atau dua tahun.’

Soderstrom berasa bingung dengan video YouTube yang menunjukkan warga bukan Sweden membuka tin surstromming di dalam rumah dan cuba memakannya tanpa sebarang perasa, bergelut untuk menahan bau ikan tersebut.

Dalam satu video, sekumpulan sahabat di Amerika Syarikat membuka tin di atas sebuah meja dalam rumah, rasa menjeluak dan rasa mahu muntah sebelum mencuba ikan tersebut akhirnya.

“Bau itu, anda tidak boleh melupakannya, tetapi rasanya agak berlendir,” kata seorang pencabar sambil mengerutkan wajahnya selepas menggigit sedikit isi ikan hering tanpa sebarang perasa.

“Sudah tentunya mereka fikir ia menjijikkan,” kata Soderstrom sambil tersenyum. “Saya juga akan memikirkan yang sama jika saya memakannya seperti mereka.”

“Seluruh hidangan adalah benar-benar penting. Siapa yang anda makan bersama, di mana anda makan dan bagaimana anda memakannya. Saya mahu menghidupkan tradisi tersebut,” kata beliau. – AFP