VAZIR, UZBEKISTAN – Di dalam bangsal besar milik pekebun Uzbek Sanat Kalandarov, hasil tembikai yang melimpah-ruah tergantung dari alang kayu, menjanjikan keuntungan lumayan pada musim sejuk sukar akan datang.
Kalandarov sedang mengamalkan jenis simpanan yang berusia beberapa abad – bangsal itu telah menjadi milik keluarganya selama tiga generasi – dan beliau memandang rendah pada petani lebih muda generasi sekarang yang beralih kepada penggunaan peti sejuk.
“Tembikai memerlukan udara segar untuk bernafas,” kata Kalandarov, 35 tahun, sambil menunjukkan pada celah sempit pada dinding bangsal untuk tujuan pengudaraan, yang cukup tebal untuk melindungi buah-buahan tersebut daripada cuaca musim sejuk dan suhu panas pada awal musim bunga.
“Apabila hari sejuk, kami menebat dinding. Selain itu, kaedah ini tidak memerlukan bekalan elektrik. Ia amat menjimatkan.”
Tembikai jenis kulit tebal kegemaran penduduk Uzbekistan ini – ada di antaranya berbentuk seperti torpedo, yang lainnya dalam bentuk bujur – ditanam pada bulan Mei, dua bulan selepas tembikai masak pada musim panas.
Buah tersebut seterusnya disimpan dan dijual semasa musim sejuk, apabila nilainya boleh meningkat 15 kali ganda di pasaran domestik malah lebih tinggi lagi di luar negara.
Pada tahun ini, musim penanaman tembikai mendatangkan hasil amat lumayan.
Pandemik koronavirus menjejas teruk Uzbekistan, apabila ia baru sahaja mencatat pemulihan ekonomi.
Wang yang dikirim oleh pekerja pendatang yang bekerja di luar negara merosot separuh, menurut satu laporan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang disiarkan pada Julai, sekali gus menjejaskan belanjawan ratusan ribu keluarga yang bergantung pada mereka.
Perintah berkurung yang ketat mencetuskan pembuangan pekerja beramai-ramai di seluruh negara yang mempunyai 33 juta penduduk itu, dengan perniagaan kecil terkesan teruk.
Kalandarov, sebaliknya berupaya menggaji 12 penduduk yang menganggur dari kampungnya di Vazir di kawasan gersang di barat laut negara.
Dia juga merancang menghantar kumpulan tembikai pertamanya untuk dieksport ke negara jiran Kazakhstan pada akhir Oktober.
“Dengan COVID-19 dan pengangguran yang tercetus, tembikai pada musim sejuk ini merupakan satu kelegaan,” beritahunya kepada AFP, mendapati beliau mempunyai 50 tan buah untuk dijual di luar musim.
Menurut kementerian pertanian, kira-kira 700,000 tan tembikai ditanam setahun di Uzbekistan di tanah seluas 35,000 hektar.
Shohruh Tolibov, seorang pakar dari kementerian, berkata eksport mewakili kurang 10 peratus daripada jumlah tersebut – sesetengah jenis tembikai paling manis tidak dapat bertahan perjalanan. Namun ianya akan meningkat dua kali ganda pada tahun ini dan telah ditanam lima kali ganda berbanding tempoh tiga tahun lalu.
Pertumbuhan sedemikian telah dicetuskan oleh pembaharuan perladangan dilancarkan oleh Presiden Shavkat Mirziyoyev, yang memansuhkan kepentingan monopoli yang menguasai eksport buah-buahan dan sayur-sayuran dan membenarkan peniaga kecil peluang untuk memilih pelanggan mereka sendiri.
Kazakhstan, Rusia, Krygyzstan, Latvia dan Ukraine merupakan destinasi terkenal untuk tembikai Uzbek, beritahu Tolibov kepada AFP.
Pada bulan ini, Kumpulan Jahon Exim mendakwa ia telah menyelia eksport pertama tembikai Uzbek ke Britain.
“Kami berharap tembikai Uzbek, terkenal dengan rasa dan khasiat kesihatan, akan dihargai oleh pengguna tempatan,” kata pengarah syarikat Jahongir Giyasov dalam komennya kepada media tempatan.
Uzbekistan menanam lebih daripada 50 jenis tembikai.
Khorezm, sebuah rantau di kawasan hulu sungai Amu Darya yang mempunyai musim sejuk sederhana, menanam sekurang-kurangnya 12 jenis dan semuanya berkongsi ciri-ciri yang sama – rasanya yang sungguh sedap.
Sementara tanaman lain gagal menjadi di kawasan ini, ‘tembikai tumbuh lebih manis di tanah masin,” kata Kalandarov, dengan pekerjanya makan beberapa hasil keluarannya, memotong buah tembikai berkulit hijau seperti kek hari jadi pada akhir hari musim luruh yang panas.
Kalandarov membesar di ladang tembikai, dan telah menanam buahnya sendiri sejak dia masih remaja.
Namun dia tidak berasa puas hati dengan kerja ini sendirian. Sebaliknya, cita-citanya adalah sama dengan dasar kerajaan kebangsaan – untuk beralih daripada menjual hasil keluaran mentah kepada produk yang mempunyai nilai tambahan.
“Saya mempunyai pelan perniagaan. Saya mahu menghasilkan produk baharu – jem tembikai, jeruk tembikai, tembikai kering. Timbulnya permintaan yang tinggi untuk produk berkenaan di pasaran asing,” beritahunya kepada AFP. – AFP