Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Pekebun Uganda ternak berenga atasi krisis baja

    KAYUNGA, UGANDA – Moses Wamugango mengamati tong plastik di mana berenga menggeliang-geliut dalam sisa-sisa bahan kotoran yang sedang reput, projek seorang jiran yang menceritakan tentang masalah baja yang berjaya diatasinya.

    Berenga adalah larva lalat hitam, sejenis serangga di mana sistem penghadamannya mampu menukar sisa makanan kepada baja organik. Petani pastinya benci lalat tersebut kalau bukan disebabkan ia amat bernilai.

    “Saya juga mahu berenga itu,” kata Wamugango. Pegawai perladangan yang mengagihkan tong secara percuma mencatat namanya dua minggu lalu dan memberitahu mereka akan memberikannya empat tong plastik untuk memulakan projek itu.

    “Saya masih menunggu. Kali terakhir mereka datang, mereka tidak datang ke tempat saya. Itulah masalah yang saya hadapi sekarang.”

    Uganda adalah kawasan lembangan makanan serantau, tetapi harga komoditi yang meningkat yang dicetuskan peperangan Rusia di Ukraine telah menjejas petani. Harga baja telah naik dua atau tiga kali ganda, dengan sesetengah produk popular sukar dicari di pasar, menurut Perkongsian Perniagaan Tani dan Baja Afrika, kumpulan bukan bersifat keuntungan yang menyokong perniagaan di seluruh benua.

    Lalat hitam, di mana larva mereka digunakan untuk menghasilkan baja organik daripada sisa makanan, kelihatan di Marula Proteen Ltd di Kampala, Uganda. – AP
    Muhammad Magezi memeriksa tong-tong yang mengandungi lalat hitam, di mana larva mereka digunakan untuk menghasilkan baja organik daripada sisa makanan, di Kangulumira, daerah Kayunga, Uganda. – AP
    Joseph Wagudoma menggunakan baja organik yang dihasilkan daripada sisa makanan oleh larva lalat hitam pada tanaman di kebunnya di Kangulumira, Uganda. – AP

    Kebanyakan makanan yang dihasilkan di benua Afrika Sahara datang dari petani kecil-kecilan yang biasanya menggunakan pekerja keluarga. Pakar pertanian ingin kerajaan dan penyumbang luar memberikan sokongan yang lebih kepada mereka, termasuk pemberian subsidi.

    Ada di antara mereka yang telah memberi peringatan bahawa petani yang banyak bergantung pada baja sintetik melihat penternakan larva sebagai usaha baik terhadap perladangan organik mampan. Mereka berharap program tersebut boleh dikembangkan kepada seorang petani pada satu masa. Program penternakan larva sudah wujud di negara lain, termasuk Nigeria dan Kenya, di mana sebahagian kawasan negara sedang mengalami kemarau.

    Di daerah perladangan Uganda yang terletak tidak jauh dari ibu negara Kampala, ratusan pekebun kecil-kecilan telah menjalankan penternakan serangga yang subur tetapi tidak hidup lama ini.

    Jumlah pekebun yang telah mendaftar dalam program telah meningkat ketika harga baja sintetik naik menimbulkan cabaran kepada kebanyakan pekebun mengenai cara-cara menjaga tanaman seperti kopi. Daripada hanya dua peserta pada Januari 2021, jumlah pekebun larva sekarang mencecah lebih daripada 1,300 orang.

    Program tersebut memberikan manfaat kepada semua pihak. Kumpulan berkenaan membekalkan pekebun dengan larva dan tong, syarikat pengurusan sisa buangan Marula Proteen dan pengeksport pertanian Enimiro, membekalkan larva untuk usaha pembiakan berterusan mereka.

    Pekebun diberi jaminan keuntungan tiga kali ganda dalam tempoh 14 hari mereka mula menternak larva dengan memberikan makanan sisa makanan, dengan campuran najis larva dan kompos digunakan untuk menyuburkan kebun mereka.

    “Saya berasa takut dengan berenga sebelum ini,” kata pekebun Joseph Wagudoma, pemilik lapan tong yang diterima pada Februari. “Setiap kali saya mendengar seseorang sedang menternak berenga, saya akan berkata, ‘Bagaimana seseorang boleh membela berenga?’”

    Perasaan takutnya lenyap apabila dia melihat para peserta mencelup tangan mereka dalam tong.

    Wagudoma kini memperoleh kira-kira AS$10 setiap dua minggu, cukup untuk membeli barang runcit malah masih dapat menyimpan wang yang lebih. Ayamnya tidak perlu merayau-rayau terlalu jauh, hanya menumpu di bawah tong gantung untuk menangkap larva yang jatuh. Dia sering mencurah air kompos pada tanaman kopi dan vanila yang dipercayainya membesar lebih subur.

    “Cahaya matahari membakar tanaman petani dan ia mati. Namun bagi saya, baja yang ada membantu tanah-tanih kekal dalam keadaan sejuk,” kata bapa kepada enam orang anak itu. “Tanaman kopi saya kini berbunga lebat berbanding sebelumnya. Manfaat yang saya peroleh daripada berenga adalah saya mendapat wang tunai dan saya juga mendapat baja.”

    Di daerah Kayunda, ibu pejabat program penternakan larva di tengah Uganda, satu cabaran awal adalah mengatasi perasaan ragu-ragu petani mengenai kemapanan berenga.

    Sekarang, pekerja pertanian menerima sambutan yang menggalakkan daripada pekebun, kata Muhammad Magezi dari Enimiro.

    “Kini ramai di antara mereka mengunjungi hab kami dan meminta larva,” katanya. Matlamat untuk mendaftarkan 2,000 orang petani di Kayunda dapat dicapai, dan projek yang sama di barat Uganda sedang dilaksanakan.

    Program penternakan larva merupakan ‘penyelesaian sebenar’ kepada kelaparan, kebergantungan yang besar ke atas baja import dan perubahan iklim, kata Ruchi Tripathi dari kumpulan berpangkalan di London, VSO, yang menyokong komuniti perladangan di seluruh dunia.

    “Kami tidak boleh meneruskan pengeluaran dengan memusnahkan tanah kami,” katanya. “Berapa banyak tanah yang awda boleh eksploit dan berapa lama awda fikir ia akan diteruskan?”

    Kepopularan program penternakan larva bermakna terdapatnya harapan untuk beralih daripada baja sintetik di beberapa negara Afrika.

    Bandar-bandar di Afrika akan menerima manfaat daripada tanaman seperti yang ada di Kampala yang hanya memerlukan beberapa tan sisa buangan sehari untuk diberi makan kepada larva di hab pembiakan, kata Tommie Hooft van Huijsduinen dari kumpulan Marula Proteen yang menyokong penternak di Kayunga.

    Dengan harga baja sintetik kini melambung tinggi, dia berkata tanamannya menerima lebih banyak tempahan daripada yang mampu dibekalkannya.

    Pada harga AS$11 setiap satu beg 50 kilogram, produknya adalah empat kali kurang mahal berbanding baja sintetik di pasaran – dan mendapat permintaan dalam kalangan pekebun kopi komersial yang sedang menilai hasilnya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...