Pekerja AS wajib divaksin menjelang 4 Jan

AMERIKA SYARIKAT, 4 NOV – Puluhan juta warga Amerika yang bekerja di syarikat dengan 100 atau lebih pekerja diwajibkan mendapat suntikan vaksin COVID-19 menjelang 4 Januari ini atau menjalani ujian virus setiap minggu di bawah peraturan kerajaan yang berkuat kuasa hari ini.

Pentadbiran Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan berkata syarikat yang gagal mematuhi mungkin berdepan penalti AS$14,000 untuk setiap kesalahan.

Peraturan baharu itu, yang pertama dikaji oleh Presiden Joe Biden pada September, akan membabitkan kira-kira 84 juta pekerja di perniagaan sederhana dan besar, walaupun masih tidak jelas jumlah pekerja yang belum menerima vaksin.

Peraturan lebih ketat akan dikenakan ke atas 17 juta orang lagi yang bekerja di rumah penjagaan, hospital dan pusat lain yang menerima wang daripada Medicare dan Medicaid. Pekerja berkenaan tidak mempunyai pilihan untuk ujian dan perlu mendapatkan suntikan vaksin.

Masih tidak jelas bagaimana OSHA akan menguatkuasakan peraturan itu. Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata agensi itu akan menyasarkan syarikat sekiranya ia menerima aduan.

Pekerja boleh meminta kekecualian berdasarkan sebab kesihatan atau agama.

Pekerja perlu menerima sama ada dua dos vaksin Pfizer atau Moderna atau satu dos vaksin Johnson & Johnson pada 4 Januari.

Pekerja tanpa suntikan vaksin mesti menghantar ujian negatif kepada syarikat sekurang-kurangnya sekali seminggu dan memakai pelitup muka semasa bekerja. – AP

Gambar fail menunjukkan pekerja Exam Corp Lab (kanan) bercakap dengan seorang pesakit yang berbaris untuk menjalani ujian COVID-19 di Niles, Illinois. Jutaan pekerja AS diberi tarikh akhir 4 Januari untuk mendapatkan vaksin COVID-19. – AP