KABUL, 9 Mei – Kumpulan kemanusiaan hari ini terkejut dengan satu lagi serangan yang mensasarkan pekerja bantuan di Afghanistan, tatkala pegawai mengesahkan sembilan orang telah terbunuh dalam satu serangan Taliban di Kabul sehari sebelumnya.
Serangan semalam di luar Counterpart Antarabangsa, satu pertubuhan bukan keuntungan yang bekerja dengan penduduk tersisih di Afghanistan, bermula dengan satu letupan besar daripada sebutir bom kereta di kawasan komersial yang sibuk di tengah Kabul.
Jurucakap kementerian dalam negeri Nasrat Rahimi berkata angka kematian telah meningkat kepada sembilan orang, termasuk lima anggota keselamatan Afghan, seorang pengawal di Counterpart dan tiga orang awam. Kumpulan anti-kemiskinan CARE, yang mempunyai pejabat berhampiran Counterpart Antarabangsa, berkata tiga pekerjanya, seorang pengawal dan seorang penasihat teknikal, terbunuh dalam letupan berkenaan.
“Serangan ini mencerminkan risiko kerja-kerja kemanusiaan yang semakin meningkat di negara yang dibelenggu konflik seperti Afghanistan dan keganasan harian untuk kebanyakan keluarga Afghan,” kata CARE dalam satu kenyataan.
Selain daripada itu, 20 orang awam cedera dalam serangan itu, yang melihat beberapa lelaki bersenjata Taliban menyerbu perkarangan Counterpart selepas letupan. Kesemua mereka terbunuh selepas komando Afghan memimpin operasi pertempuran selama beberapa jam.
Letupan besar semalam menumbangkan pokok dan memusnah tembok konkrit di jalan raya di luar Counterpart.
Berpuluh pekerja kelihatan menyapu serpihan dan kaca pecah dari jalan raya di kawasan Shahr-e-Naw di tengah Kabul, yang menempatkan kedai, restoran dan hotel.
Taliban mendakwa bertanggungjawab atas serangan, berkata Counterpart Antarabangsa disasarkan disebabkan ia mempromosi ‘pergaulan campur’ di antara lelaki dan wanita.
Jurucakap pemberontak Zabihullah Mujahid berkata di Twitter bahawa kumpulan bantuan telah menjadi mentor kepada ‘pekerja pentadbiran Kabul dalam pelbagai aspek kekejaman, penindasan, keganasan, ideologi anti-Islam serta mempromosi budaya Barat.’ – AFP