Pekerja basmi sarang ‘tebuan maut’

LOS ANGELES, 25 OKT – Pekerja jabatan pertanian memakai sut perlindungan telah menghapuskan sarang pertama ‘tebuan maut’ yang ditemui di Amerika Syarikat (AS), memvakum haiwan itu keluar daripada sebatang pokok di negeri Washington.

Sarang tebuan gergasi Asia itu ditemui oleh ahli entomologi Jabatan Pertanian Negeri Washington (WSDA) di kawasan Blaine, berhampiran sempadan dengan Kanada, menurut agensi.

Mereka menghabiskan masa berminggu-minggu mencari sarang tersebut, memerangkap tebuan dan menjejakinya, menggunakan flos gigi untuk mengikat penjejak radio kecil pada serangga, yang mempunyai badan sepanjang dua inci dan sengat yang bisa.

Sebelum subuh semalam, sekumpulan pekerja dalam sut perlindungan memvakum serangga keluar dari sarang mereka dalam lubang sebatang pokok mati.

Ia berkata penghapusan sarang nampaknya berjaya dan lebih banyak butir akan diberikan pada sidang media esok.

WSDA percaya terdapatnya peluang baik di mana lebih banyak sarang akan ditemui dan ‘pembasmian adalah amat penting,” kata Sven Spichiger, ahli entomologi WSDA, semasa sidang akhbar baru-baru ini.

“Jika ia berjaya, tebuan ini akan memberi kesan negatif ke atas alam sekitar, ekonomi dan kesihatan awam negeri Washington,” kata WSDA. – AFP

Gambar fail menunjukkan botol yang mengandungi jus oren dan wain beras dipasang sebagai perangkap oleh Jenni Cena, ahli biologi haiwan perosak dalam usaha untuk menangkap tebuan gergasi Asia di Bellingham, Washington. – AFP