Pekerja bermusim terdedah dengan COVID-19

FRAGA, SEPANYOL – Di kebun subur di timur laut Sepanyol, warga Guinea, Said Doumbia memetik buah nektarin dalam pekerjaan yang memberikannya pendapatan hanya 5,25 euro (sekitar AS$6) sejam.

Setelah seharian di bawah terik sinar matahari, dia keletihan tetapi ketika dia akhirnya berhenti, dia mesti mengambil suhunya sebelum memasuki dewan sukan tempat dia tinggal, di mana kompleks ini telah didirikan khusus untuk pekerja bermusim setelah munculnya virus.

Ribuan pekerja imigran datang ke lembah subur di wilayah Aragon setiap tahun tetapi penularan baharu wabak COVID-19 telah membimbangkan pihak berkuasa. Untuk mengatasi masalah itu, bandar kecil Fraga Khamis lalu membuka tempat tinggal sementara kepada sehingga 50 pekerja yang telah tidur di luar dalam usahanya mengesan kes baharu COVID-19.

Ketika Doumbia tiba, seorang pekerja Palang Merah memeriksa suhu badannya dengan termometer inframerah, setelah itu dia mesti membasmi kasut dan tangannya.

Setelah mandi, dia dapat menikmati makanan panas kemudian tidur di salah satu tempat tidur di ruang dewan, dengan lampu yang dipadamkan pada pukul 10 malam dan sarapan disajikan dari jam 5 pagi.

Pekerja bermusim dari Bulgaria memetik buah nektarin. – AFP

“Ada yang bekerja, yang lain mencari pekerjaan,” kata pegawai Palang Merah, Oscar Gracia.

“Ada yang merasa sangat emosional, mengatakan bahawa akhirnya mereka mempunyai atap di atas kepala mereka dan sepiring makanan panas.”

Banyak pemetik buah yang kehilangan tempat tinggal mengembara seluruh negara mencari pekerjaan sesuai dengan musim.

Mame Cisse, berusia 34 tahun dengan kemeja T kelabu, tiba dari Senegal dua tahun lalu dan setakat musim ini, dia memperoleh pendapatan enam euro sejam untuk memetik bawang di Albacete, dan lapan euro untuk memetik zaitun di Huelva, kedua-dua kawasan di tenggara. Sekarang dia di Fraga “mencari lebih banyak kerja.”

Tidak dapat melakukannya tanpa mereka

Sepanyol telah dilanda virus dengan teruk, menanggung lebih daripada 28,300 kematian dan keadaan darurat baharu saja dilonggarkan pada 21 Jun ketika wabak baru dikesan di sebuah ladang buah-buahan dekat Fraga yang terpaksa ditutup.

Pada Khamis lalu, kementerian kesihatan mengatakan 250 kes telah dikenal pasti di daerah itu, hampir semuanya dalam kalangan pekerja bermusim, ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memperingatkan tentang peningkatan gelombang kedua di Eropah sejak sekatan dilonggarkan.

Setelah 14 minggu dalam perintah lockdown tetapi hanya satu kematian, Fraga terpaksa menerapkan beberapa larangan, melarang perhimpunan lebih daripada 15 orang dan lawatan ke rumah jagaan warga tua. Tetapi datuk bandar Carmen Costa mengatakan adalah penting ‘untuk tidak menyalahkan pekerja bermusim.’

“Kami memerlukan mereka untuk datang dan bekerja, kami memerlukan me-reka sama seperti mereka memerlukan kita,” katanya. “Kita tidak boleh membuat orang tidur di jalanan, terutama dengan masalah kesihatan semasa.”

Terdapat sekitar 1,000 syarikat pertanian di daerah ini, dan 80 peratus hasil diperuntukkan untuk dieksport dengan nilai pasaran 60 juta euro, kata Ignacio Gramunt, pengarah mercoFraga yang membantu memasarkan hasilnya.

“Di Fraga sahaja, kami mengupah 5,000 pekerja bermusim yang memetik buah dan sekitar 12,000 di daerah itu. Kita tidak dapat melakukannya tanpa mereka.” – AFP