KUALA BELAIT, 16 Januari 2007 – Sembilan orang pekerja tempatan mendakwa dianiaya oleh majikan mereka.
Dalam pertemuan dengan Media Permata, dua daripada sembilan pekerja terbabit berkata syarikat kontraktor tempat mereka bekerja telah beberapa kali mungkir janji untuk menaikkan gaji selepas tiga bulan percubaan.
Pekerja-pekerja yang enggan namanya disiarkan itu mendakwa syarikat mereka juga tidak membayar gaji bekerja lebih masa.
Mereka mendakwa diwajibkan menyertai kursus keselamatan dan kesihatan tetapi majikan mereka memotong gaji mereka sebanyak $5 sebulan sebagai bayaran yuran $120 kerana menyertai kursus itu.
Mereka mendakwa majikan menjanjikan gaji bulanan sebanyak $450 ketika ditemu duga tetapi bayaran yang diberikan kurang daripada jumlah yang dijanjikan.
Sebilangan pekerja sudah berkhidmat selama 15 tahun tetapi gaji mereka tidak pernah dinaikkan dan mereka juga mendakwa sudah lama melaporkan masalah itu ke jabatan kerajaan yang bertanggungjawab tetapi tiada tindakan diambil sehingga sekarang.
“Oleh sebab tidak tahan dan tidak tahu hendak ke mana mengadu lagi mengenai masalah yang dihadapi, akhirnya ramai di kalangan pekerja di sana berhenti,” dakwa salah seorang pekerja syarikat itu. Mereka juga mendakwa syarikat berkenaan tidak pernah memberikan slip gaji bagi gaji yang dibayar melalui bank.
Waktu rehat pekerja juga tidak menentu dan mengikut perjanjian kerja, mereka diberikan rehat makan tengah hari selama sejam tetapi kadangkala waktu rehat lewat sehingga menjangkau pukul 3 petang, dakwa mereka.
“Kadang-kadang jika sakit dan diberi cuti oleh pegawai perubatan juga tidak dibenarkan dan menimbulkan kemarahan kepada majikan, sehingga diberikan amaran jika mengambil cuti sakit lagi dalam masa dua bulan, malah akan dikenakan tindakan disiplin atau dipecat,” dakwa mereka.