Pekerja digesa lengkapi vaksin sebelum bekerja

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Mana-mana pekerja yang belum menerima suntikan vaksin sepenuhnya tidak dibenarkan untuk memasuki premis-premis sektor pekerjaan masing-masing dan diarahkan untuk menjalankan kerja dari rumah sahaja.

Bagi pekerja lapangan yang belum menerima suntikan vaksin, mereka juga dilarang untuk meneruskan pekerjaan mereka selagi belum menerima suntikan.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab persoalan mengenai golongan pekerja lapangan yang belum menerima suntikan vaksin sepenuhnya semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau berkata, dari semasa ke semasa, pihak kerajaan akan sentiasa memantau dan merancang langkah-langkah selanjutnya apabila beralih ke fasa seterusnya nanti.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani