Pekerja dihantar ke luar negara divaksin cetus persoalan

PORT MORESBY, 20 OGOS – China berdepan permintaan hari ini untuk menjelaskan kenapa firma yang disokong kerajaan mendakwa ia telah memvaksin puluhan kakitangan sebelum menghantar mereka balik untuk bekerja di sebuah lombong di Papua New Guinea (PNG).

China Metallurgical Group Corporation (MCC) – yang mengawal lombong nikel utama di negara itu – memberi amaran pihak berkuasa tempatan bahawa 48 kakitangan yang kembali dari China bulan ini mungkin diuji positif virus kerana mereka telah menerima vaksin.

Sebagai respons, pihak berkuasa PNG menggesa bagi ‘penjelasan segera’ dari Beijing dan menyekat penerbangan sewa yang dipenuhi pekerja China yang dijangka mendarat hari ini. Pandemik itu telah mengganggu operasi di beberapa lombong mewah di PNG, salah sebuah negara termiskin di Pasifik.

Sementara memindahkan kakitangannya ke tempat itu, firma subsidiari MMC, Ramu NiCo memberitahu pihak berkuasa PNG bahawa sebarang keputusan ujian koronavirus adalah ‘reaksi normal vaksinasi dan bukan disebabkan jangkitan’, menurut kenyataan berbahasa Inggeris dan Cina yang diperolehi oleh AFP.

Seramai 48 kakitangan di lombong bernilai bilion dolar itu telah ‘divaksin dengan vaksin SARS-COV-2’ sebelum mereka pulang, katanya.

China sebelumnya mengatakan yang ia akan menguji vaksin ke atas kakitangan tentera dan kakitangan di syarikat sokongan kerajaan namun ia masih belum jelas sama ada ujian itu telah dijalankan ke atas pekerja-pekerja yang hendak bekerja ke luar negara.

“Ia mengambil masa sekitar tujuh hari untuk menghasilkan antibodi dalam badan penerima vaksin selepas divaksinasi,” menurut kenyataan.

“Jika mereka perlu untuk diuji semula bagi COVID-19, ia dicadangkan untuk dijalankan sekurang-kurangnya tujuh hari selepas tarikh vaksinasi.” – AFP