Pekerja dikuarantin di lombong emas

MOSCOW, 21 MEI – Tentera Rusia telah menyediakan satu kem untuk mengkuarantin pekerja di sebuah lombong emas besar di Siberia, kata kementerian pertahanan hari ini, selepas ratusan pekerja diuji positif dijangkiti koronavirus.

Pusat pengasingan telah didirikan untuk pekerja di lombong Olimpiada dan kilang pemprosesan di Krasno-yarsk, operasi perlombongan emas terbesar Rusia, menurut kenyataan kementerian.

Hampir 900 pekerja diuji positif dijangkiti koronavirus di pusat itu dalam pemeriksaan awal, kata Pavel Grachev, ke-tua pengarah kumpulan Polyus yang mengendali lombong itu, pada Isnin. Beliau berkata kira-kira 400 daripada pekerja berkenaan disahkan dijangkiti oleh pegawai kesihatan. Lombong itu menggaji kira-kira 6,000 pekerja kesemuanya.

Kolonel Dmitry Pyatunin dari Daerah Tentera Tengah berkata dalam kenyataan bahawa tentera telah mendirikan kemudahan perubatan dan khemah untuk mengasingkan sehingga 2,000 orang di tapak.

Kementerian pertahanan menghantar hospital lapangan bergerak dan 200 tentera, termasuk 77 doktor dan pakar perubatan, selepas Presiden Vladimir Putin mengarah tentera supaya membantu mengendali wabak tersebut. – AFP