Pekerja domestik HK dipecat kerana kanser

HONG KONG, 15 April – Seorang pekerja domestik dipecat selepas didiagnosis kanser telah diberikan pampasan oleh mahkamah Hong Kong hari ini, dalam kes yang menunjukkan eksploitasi wanita asing yang bekerja keras sebagai pembantu rumah dalam hab kewangan yang mewah.

Baby Jane Allas dari Filipina telah didiagnosis dengan kanser serviks tahap tiga pada Januari dan dipecat pada bulan berikutnya oleh majikannya yang memetik penyakit itu sebagai alasan bagi penamatan khidmatnya.

Ibu tunggal lima anak berusia 38 tahun serta-merta hilang hak penjagaan kesihatan dan terpaksa sering memohon lanjutan visa ketika dia merentasi sistem imigresen dan undang-undang Hong Kong semasa bergelut dengan kanser.

Dia telah menjalani terapi radiasi lima hari seminggu, di samping kemoterapi sehari seminggu.

Allas dan bekas majikannya – yang tidak hadir semasa prosiding hari ini – mencapai persetujuan bayaran sebanyak HK30,000 (AS$3,800) di tribunal buruh Hong Kong bagi elaun sakit, yuran perubatan dan gaji ganti bayaran.

“Saya berdiri di sini sekarang untuk menggalakkan lebih ramai para pekerja untuk tampil jika mereka mempunyai kes seperti ini,” kata Allas di luar perbicaraan itu.

Allas menambah dia berharap dapat menemui majikan lain ‘yang benar-benar memahami situasi dirinya dan melayannya dengan baik’.

Dia telah memfailkan dakwaan secara berasingan dengan Equal Opportunities Commission bagi penamatan perkhidmatan yang salah dan hilang punca pendapatan yang boleh dihadapkan ke Mahkamah Daerah bandar itu. Allas sebelumnya memberitahu AFP yang dia telah bekerja selama setahun bagi sebuah keluarga asal Pakistan yang mengarahkannya bekerja setiap hari seminggu.

Menurutnya lagi, dia diberi sisa makanan setiap hari dan tidur di tilam nipis dalam bilik stor yang berselerak. – AFP

Baby Jane Allas (tengah), yang dipecat selepas didiagnosis mengidap kanser serviks bersama ahli keluarga dan para penyokong selepas perbicaraan di Tribunal Buruh di Hong Kong pada 15 April. – AFP