Pekerja Filipina maut tertimbus tanah runtuh

SIBU, 14 JULAI – Seorang pekerja warga Filipina maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh sedalam kira-kira 3.05 meter, ketika membuat kerja-kerja kimpalan paip di Loji Rawatan Air Jalan Nyabau, Bintulu, kira-kira 216km dari sini petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak berkata jentera pengaut terpaksa digunakan untuk mengeluarkan mayat Perez Antonio Secuya, 41, dari timbunan tanah itu kira-kira pukul 4.33 petang.

“Mayat telah diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang turut berada dilokasi. Pekerja itu disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM pada pukul 4:40 petang,” katanya ketika dihubungi di sini. – Bernama