Pekerja Google tandatangani manifesto bantah vaksinasi mandatori

MOSCOW, 24 NOV – Lebih kurang 600 pekerja Google menandatangani manifesto meminta majikan mereka menarik balik arahan mewajibkan vaksinasi COVID-19 sebelum pekerja kembali ke pejabat, Sputnik memetik laporan media.

Pada 4 November, pentadbiran Biden berkata syarikat yang mempunyai lebih 100 pekerja harus memastikan setiap pekerja sudah lengkap divaksin atau negatif ujian COVID-19 pada setiap minggu.

Sebagai respons kepada ara-han itu, Google meminta lebih 150,000 pekerjanya untuk memuat naik status vaksinasi mereka dalam portal syarikat pada awal Disember. Syarikat itu juga menyatakan pekerjanya yang mempunyai tugasan dengan pihak kerajaan perlu mendapatkan vaksin walaupun tidak datang ke pejabat.

Manifesto yang ditandatangani itu menggesa ketua syarikat untuk mengemukakan arahan baharu berhubung vaksin, “merangkumi semua pekerja Google,” lapor CNBC.

Manifesto itu juga meminta pekerja untuk “menentang arahan vaksinasi itu sebagai prinsip” dan menekankan bahawa arahan itu tidak boleh mengubah keputusan mereka untuk tidak mendapatkan vaksin COVID-19.

Google, bagaimanapun, mengekalkan pendiriannya dalam respons kepada bantahan itu. – Bernama