Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pekerja Jepun diberi cuti khas

    TOKYO, 29 April – Maharaja Jepun akan turun takhta pada 30 April ini dan pekerja-pekerja di Jepun akan bercuti bagi tempoh yang tidak pernah dinikmati sebelum ini iaitu selama 10 hari memandangkan cuti-cuti khas bergabung dengan minggu tradisi ‘Golden Week’ dalam bulan Mei.

    Namun tidak semua rakyat Jepun yang terkenal dengan sikap ‘gila kerja’ merasa gembira.

    “Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana untuk meluangkan masa apabila kami tiba-tiba diberikan cuti 10 hari,” menurut Seishu Sato, pekerja kewangan berusia 31 tahun.

    “Jika mahu pergi melancong, keadaan akan penuh sesak di mana-mana dan kos pelancongan melonjak naik. Saya mungkin akan tinggal di rumah ibu bapa saya,” ujarnya.

    Tinjauan akhbar harian Asahi Shimbun menunjukkan 45 peratus rakyat Jepun merasa tidak gembira dengan cuti panjang dengan hanya 35 peratus mengatakan mereka merasa gembira.

    “Saya tidak dapat bercuti. Sebaliknya kami akan amat sibuk,” kata Takeru Jo, seorang pekerja restoran piza. Yang lain terpaksa bekerja dalam tempoh itu juga merungut tentang pusat penjagaan kanak-kanak.

    “Bagi ibu bapa yang bekerja dalam sektor perkhidmatan, cuti 10 hari memeningkan mereka kerana sekolah dan taman asuhan juga tutup,” salah seorang ibu bapa merungut melalui Twitternya. Ramai yang menjangka Tokyo dan bandar besar lain akan sunyi ketika warga Jepun mengambil peluang bercuti keluar negara. –AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda