Pekerja kereta api Korea Selatan mogok

DAEJEON, 20 NOV – Pekerja kereta api di Korea Selatan pada Rabu telah melancarkan mogok dan menuntut gaji lebih tinggi serta pengambilan pekerja lebih ramai, yang berpotensi menjejaskan majoriti perkhidmatan pengangkutan itu di seluruh negara, lapor agensi berita Yonhap.

Tindakan kolektif itu dilakukan oleh pekerja kesatuan sejurus selepas rundingan dengan pengusaha perkhidmatan kereta api menemui jalan buntu.

Kira-kira 30 hingga 70 peratus tren penumpang, termasuk kereta api peluru KTX, keretapi bawah tanah antara bandar serta perkhidmatan Saemaeul dan Mugungwha selain kereta api barang, diramalkan terjejas ekoran mogok yang bermula pada pukul 9 pagi.

Kementerian pengangkutan merancang menggerakkan petugas Korea Railroad Corp (KORAIL) dan pasukan tentera untuk mengendali perkhidmatan kereta api itu dalam usaha meminimumkan kesulitan kepada penumpang semasa waktu perjalanan.

Mereka juga bercadang meminta bantuan pengusaha bas dan pejabat wilayah untuk menyediakan pengangkutan awam tambahan.

Mogok terkini itu menyusuli tindakan meninggalkan tugas selama 72 jam pada bulan lepas.

Pekerja kesatuan telah berikrar untuk mengadakan satu lagi mogok jika tuntutan mereka, termasuk pengambilan lebih ramai pekerja baharu dan kenaikan gaji, tidak dipenuhi.

Ia merupakan mogok pertama tanpa jadual tetap dalam tempoh tiga tahun, yang menyusuli mogok 74 hari dari September hingga Disember 2016. – Bernama