Pekerja kesihatan tanpa vaksinasi berdepan penggantungan

PARIS, 15 SEPT – Ribuan pekerja kesihatan tanpa vaksin di Perancis berdepan penggantungan tanpa gaji mulai hari ini di bawah undang-undang COVID-19 baharu yang menghukum orang dalam profesion penjagaan yang enggan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Presiden Emmanuel Macron memberikan pekerja berkenaan termasuk kakitangan di hospital, pekerja rumah pesaraan dan perkhidmatan bomba – kira-kira 2.7 juta kesemuanya – kata putus pada 12 Julai untuk menerima sekurang-kurangnya satu dos menjelang 15 September atau meletak jawatan.

Dua bulan kemudian, ribuan pekerja kesihatan masih enggan menerima suntikan, menambah lagi prospek gangguan perkhidmatan di pusat kesihatan yang terpaksa menggantung kakitangan tanpa gaji.

Sebuah hospital di bandar selatan Montelimar mengesahkan ia telah pun mula membatalkan pembedahan tidak penting disebabkan kekurangan pakar anestesia yang telah menerima suntikan vaksin. – AFP