Pekerja komisen terjejas boleh pohon bantuan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Para pekerja yang pendapatan mereka terjejas termasuk pekerja yang hanya bergantung pada hasil komisen disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 boleh memohon untuk mendapatkan bantuan penangguhan pembayaran pokok pinjaman atau menyatukan pembiayaan mereka daripada pihak institusi kewangan masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata bahawa langkah-langkah dasar monetari bagi menolong syarikat dan individu yang terjejas telah diperkenalkan di mana mereka boleh memohon kepada bank-bank atau institusi kewangan bagi penstrukturan semula pinjaman mereka sama ada pembiayaan rumah atau kereta.

Ia adalah khusus untuk pihak yang terjejas oleh penularan wabak COVID-19 sahaja dan ia merupakan satu kemudahan yang diberikan kepada mereka yang terjejas, jelasnya lagi semasa sidang media hari ini.

Mengulas mengenai jika simpanan Tabung Amanah Pekerja (TAP) dapat dikeluarkan untuk menampung perbelanjaan mereka pada masa ini, Yang Berhormat Dato menekankan simpanan TAP adalah bermatlamat untuk menampung masa persaraan mereka dan bukannya untuk dibelanjakan.

Beliau menambah jika TAP berkenaan dapat dikeluarkan pun, ia hanya merupakan satu penyelesaian jangka pendek sahaja kerana ia boleh menimbulkan masalah pada masa hadapan.