Pekerja lari daripada majikan dipenjara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan berserta tiga sebatan ke atas seorang lelaki warga Bangladesh yang tinggal lebih masa di negara ini setelah pas pekerjaan miliknya mansuh.

Pendakwa Imigresen Adi Yusra Adanan memberitahu Majistret Mohammad Marzuqi Sabtu bahawa Mohammad Sabui yang berusia 28 tahun melarikan diri daripada majikannya pada Disember 2020 dan bekerja di tempat lain secara tidak sah.

Majikan tertuduh segera membuat laporan dan menyerahkan pasportnya kepada pihak berkuasa setelah mengetahui bahawa pas pekerjaannya berakhir pada Februari 2021. Pada 19 Julai 2021, tertuduh bertemu dengan majikannya untuk memohon supaya diambil kembali bekerja.

Majikan tersebut membawa tertuduh ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) keesokan hari dan menyerahkannya ke bahagian penguatkuasaan.

Pihak berkuasa juga mendapati bahawa tertuduh telah bekerja bebas sejak melarikan diri.