Pekerja masih bimbang ancaman virus

MUMBAI, 26 JULAI – Jutaan pekerja asing yang lari meninggalkan ibu kota India ketika penularan COVID-19 memuncak, rata-rata masih takut untuk kembali bekerja meskipun ‘diumpan’ dengan pelbagai imbuhan.

Tenaga buruh yang menjadi ‘tulang belakang’ ekonomi ketiga terbesar di Asia itu sebelum ini mencari pendapatan di pelbagai sektor pekerjaan daripada tukang jahit sehingga pemandu teksi.

Bagaimanapun, sektor berteraskan guna tenaga buruh di India seakan menjadi lumpuh apabila negara berkenaan mengenakan perintah berkurung, lewat Mac lalu, sekali gus menyaksikan ramai pekerja asing kehilangan mata pencarian.

Angkara dibuang kerja dan pelbagai industri perniagaan ‘gulung tikar’, pekerja asing mengambil keputusan nekad untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, dengan sesetengahnya berjalan kaki sambil mengendong anak.

Kesan tempias COVID-19 itu menyaksikan segelintir pekerja asing yang tinggal sehelai sepinggang, mati dalam perjalanan sebelum sempat tiba di kampung mereka. Kini, lambakan tiket penerbangan, tempat tinggal dan gaji lebih lumayan yang ‘ditaburkan’ kepada pekerja asing, demi menarik hasrat mereka untuk kembali bekerja langsung tidak dihiraukan. Dewan Industri Perumahan Maharashtra menjelaskan kepesatan pembangunan di Mumbai sebelum ini dipacu tenaga buruh yang terdiri daripada penduduk dari negeri miskin seperti Uttar Pradesh, Bihar dan Odisha. – AFP