Pekerja maut dirempuh kereta

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Seorang pekerja kontraktor yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di permukaan jalan raya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien maut dalam kes kemalangan jalan raya pada waktu malam, 8 Ogos lalu.

Autoriti Jambatan Brunei, Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan kemalangan tersebut berlaku di kawasan perhutanan Labu, Daerah Temburong, dalam jarak lebih kurang 1.7km dari pusing keliling Labu, apabila sebuah kenderaan dalam perjalanan balik ke Kota Batu, Daerah Brunei dan Muara, tidak sempat mengelak dan merempuh salah seorang pekerja kontraktor yang berada di jalan raya pada ketika itu. Kemalangan itu menyebabkan mangsa, seorang lelaki cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan disahkan meninggal dunia pada malam yang sama.

Sehubungan itu, pihak Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sedang menjalankan siasatan ke atas kejadian tersebut. Dalam pada itu, pihak Autoriti Jambatan Brunei dalam kenyataan itu turut menasihatkan dan mengingati para pengguna Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien untuk mengambil langkah-langkah berwaspada dan lebih berhati-hati ketika mendekati kawasan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan yang dilaksanakan di atas jambatan tersebut sama ada pada waktu siang atau malam.

Pihak autoriti itu juga akan memantapkan lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pelaksanaan kerja-kerja jambatan dan langkah-langkah keselamatan agar diambil serius oleh pihak berkenaan bagi memastikan keadaan laluan yang lebih selamat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan, bolehlah menghubungi autoriti tersebut melalui Talian Darussalam 123 atau livechat di 8333123.

Insiden kemalangan yang berlaku di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien baru-baru ini. – Gambar daripada WhatsApp