Pekerja migran S’pura hidup dalam ketakutan

SINGAPURA, 9 APRIL – Pekerja migran di Singapura sedang hidup dalam ketakutan susulan peningkatan jangkitan COVID-19 di asrama kediaman mereka.

Golongan itu mendakwa keadaan asrama yang sempit dan kotor menyebabkan langkah penjarakkan sosial adalah mustahil untuk dilakukan.

Minggu ini, Singapura yang sedang berjuang memerangi penularan wabak semakin buruk itu, melaksanakan kuarantin terhadap empat kompleks asrama pekerja yang besar.

“Sebuah bilik kecil dengan 12 orang tinggal bersama… bagaimana kami boleh melakukan penjarakkan sosial?” kata salah seorang pekerja migran yang enggan dikenali.

Beliau mendakwa, tahap kebersihan adalah teruk dengan pekerja terpaksa menggunakan kawasan memasak dan bilik mandi yang dikongsi beramai-ramai.

Beberapa pekerja asing yang menggunakan penutup hidung dan mulut dilihat di salah sebuah penempatan kediaman pekerja asing di Singapura. – AFP

“Kami tahu ciri virus itu dan bagaimana ia tersebar. Oleh itu, jika keadaan hidup sebegini berterusan, saya amat bimbang,” katanya.

Sekurang-kurang sebuah asrama mempunyai tandas yang melimpah dan bilik dipenuhi lipas, lapor akhbar Straits Times di mana pengkritik menyifatkannya sebagai layanan buruk terhadap buruh asing di negara kaya ini.

Kebanyakan asrama besar dihuni pekerja yang lazimnya memperoleh pendapatan kira-kira $400 hingga $500 sebulan sebagai buruh projek pembinaan bangunan pencakar langit dan pusat beli-belah.

Seorang lelaki Bangladesh di salah sebuah asrama yang dikuarantin berkata, pekerja semakin bimbang terhadap peningkatan jumlah kes jangkitan yang tidak bergejala.

“Sudah pasti kami semua bimbang.

“Sejak beberapa hari kebelakangan ini, kami sudah mendapat berita bahawa ramai orang terjejas tanpa sebarang simptom,” katanya yang juga enggan dikenali kepada AFP.

Terdapat kira-kira 280,000 pekerja pembinaan migran di Singapura yang kebanyakannya tinggal di asrama dengan kedai dan kemudahan lain berada di lokasi.

Mereka sering ditempatkan di kawasan kurang ‘diingini’ di bandar, sekali gus hanya tidak banyak bergaul dengan warga tempatan.

Selepas muncul laporan mengenai keadaan teruk di salah sebuah asrama yang dikuarantin, Kementerian Tenaga Manusia berkata, pihaknya sedang berusaha memperbaiki keadaan itu. – AFP