Pekerja minyak sawit laksana ‘Perintah Berkurung Sukarela’

KUALA LUMPUR, 24 MAC – Peserta industri perladangan meningkatkan usaha untuk membantu membendung penularan jangkitan COVID-19 dengan meminta pekerja yang mungkin terdedah kepada virus sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan supaya menjalani kuarantin sendiri.

Menurut kenyataan bersama organisasi berkenaan yang mewakili lebih 80 peratus industri minyak sawit Malaysia, inisiatif itu dianggap sebagai ‘perintah berkurung sukarela’ yang bertujuan membasmi virus tersebut daripada pekerja ladang.

Organisasi itu termasuk Persatuan Minyak Sawit Malaysia, Persatuan Pemilik Ladang Malaysia, Persatuan Penanam Malaysia Timur dan Persatuan Pemilik-pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak.

Mereka mengulas mengenai laporan berhubung jangkitan COVID-19 di sebuah ladang di Sabah, yang dikaitkan dengan individu yang telah menghadiri satu acara di Semenanjung Malaysia pada awal Mac.

Menurut mereka, susulan pelaksanaan PKP pada 18 Mac, mereka secara bersama bersetuju dan mengarahkan ahli masing-masing untuk mematuhi standard keselamatan dan jaminan yang ketat di semua ladang, kilang dan kemudahan penapisan, selain yang diumumkan Kementerian Kesihatan dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia. – Bernama