BERLIN, 27 JULAI – Lebih dari 1,000 penerbangan Lufthansa dibatalkan hari ini kerana pekerja mogok selama sehari yang terdiri daripada pekerja bawahan di syarikat penerbangan Jerman, menjejaskan jadual perjalanan puluhan ribu penumpang ke Eropah.
Kira-kira 134,000 penumpang terpaksa menukar rancangan penerbangan atau membatalkannya.
Lebih kurang 47 penerbangan transit dibatalkan kelmarin, menurut laporan agensi berita Jerman, dpa.
Hab utama Lufthansa di Frankfurt dan Munich adalah yang paling terjejas tetapi beberapa penerbangan di Duesseldorf, Hamburg, Berlin, Bremen, Hannover, Stuttgart dan Cologne juga dibatalkan.
Syarikat penerbangan menasihatkan para penumpang yang terjejas agar tidak datang ke lapangan terbang kerana kebanyakan kaunter tidak mempunyai petugas.
Terminal lapangan terbang mengalami kekosongan semasa waktu pagi, tetapi orang ramai beratur di kaunter tiket untuk menukar jadual penerbangan mereka yang telah dibatalkan, lapor dpa.
Kebanyakan penumpang yang terkandas tiba di Jerman dari luar negara hanya mendapati bahawa penerbangan transit mereka dibatalkan akibat mogok oleh pekerja lapangan terbang. – AP