Pekerja mogok setelah tiga pembantah maut

YANGON, 8 MAC – Tiga pembantah antikudeta ditembak mati di Myanmar hari ini ketika penunjuk perasaan di seluruh negara berusaha untuk melumpuhkan ekonomi dengan tindakan mogok berikutan serbuan dan penangkapan malam minggu.

Negara itu dilanda pergolakan sejak rampasan kuasa menyingkirkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu dan mencetuskan bantahan besar-besaran ke atas junta.

Polis dan tentera telah bertindak balas dengan tindakan keras ke atas penunjuk perasaan dengan lebih 50 orang terbunuh dan hampir 1,800 ditangkap.

Meskipun berisiko, para pembantah berhimpun di kawasan bandar komersial Yangon, bandar kedua terbesar Mandalay dan bandar lain sekitar negara itu.

Di beberapa kawasan, pihak berkuasa sekali lagi bertindak balas menggunakan kekerasan.

Para pembantah bertindak selepas gas pemedih mata dilepaskan semasa tunjuk perasaan ke atas rampasan kuasa di Yangon pada 8 Mac. – AFP

Di bandar utara Myitkyina, pasukan keselamatan menggunakan gas pemedih mata dan melepaskan tembakan semasa pertempuran jalanan bersama para pembantah yang melontarkan batu.

Siaran langsung dari Facebook menunjukkan insiden para pembantah mengheret tangan dan kaki beberapa penunjuk perasaan yang cedera.

“Dua lelaki ditembak di tempat kejadian, sementara tiga yang lain termasuk seorang wanita ditembak di lengan,” kata paramedik kepada AFP.

Pembantah ketiga ditembak mati di bandar Pyapon di rantau Irrawaddy Delta, menurut seorang saksi dan pegawai penyelamat kepada AFP.

Di Yangon, pasukan keselamatan menyerbu pejabat cawangan media bebas Myanmar Now.

“Saya boleh mengesahkan pejabat kami telah diserbu pada petang semalam oleh sekumpulan askar dan polis,” kata ketua editor, Swe Win kepada AFP. – AFP