Pekerja offshore terima satu dos dipertimbangkan bekerja

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Para pekerja yang tidak menerima vaksin lengkap adalah tidak dibenarkan bekerja semasa Fasa Peralihan nanti sama ada bagi pekerja di sektor kerajaan mahupun swasta.

Walau bagaimanapun bagi pekerjaan yang menjalankan tugas secara berasingan dan tidak memerlukan interaksi dengan orang ramai seperti bekerja di offshore, mereka akan diberi pertimbangan untuk menjalankan tugas meskipun hanya memiliki satu dos suntikan vaksin COVID-19.

Perkara tersebut adalah antara yang dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan pada petang tadi.

Sementara itu, bagi pekerja yang bertugas di kedai dan berinteraksi dengan orang ramai, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyatakan bahawa hanya pekerja yang divaksinasi lengkap sahaja akan dibenarkan.

Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menyarankan mereka yang bekerja di sektor swasta untuk membuat ujian ART untuk menjaga kesihatan semua orang dan tertakluk kepada mereka untuk menjalankan ujian sama ada setiap minggu atau sebagainya.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua semasa menghadiri sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin.