Pekerja penyelamat terus usaha cari mangsa lombong runtuh

NEW DELHI, 1 Jan – Angka kematian kejadian sebuah lombong arang batu runtuh di negeri Jharkhand, di timur India telah meningkat kepada 17 orang hari ini tatkala para pekerja penyelamat bertungkus-lumus berusaha mencari mayat enam pelombong yang masih hilang.

Lombong terbuka di Lalmatia yang terletak kira-kira 390 kilometer dari ibu negara Ranchi, dekat sini, itu runtuh Khamis lalu.

“Kami telah berjaya mengeluarkan 17 mayat dan menjangka jumlah korban mungkin meningkat sehingga 23 orang,” kata jurucakap polis Jharkhand, RP Mallick memberitahu AFP menerusi telefon.

“Selain daripada keadaan cerun yang mencabar serta keadaan berkabus, kawasan yang runtuh meliputi kira-kira 200 meter dan ia setentunya mengambil masa untuk membersihkan runtuhan dan mencari mangsa-mangsa yang masih hilang,” ujar beliau.

Seorang pengendali jentolak di tapak lombong itu , Baleshwar Mahato, yang mana anaknya turut terkorban dalam nahas tersebut berkata, pengusaha lombong telah mengabaikan dua amaran keselamatan sebelum kejadian runtuhan itu berlaku.

“Selepas amaran pertama, terdapat satu lagi amaran sekitar jam 6 petang (khamis) apabila sebuah ketulan besar lumpur menggelongsor ke bawah,” kata Baleshwar memberitahu The Indian Express.

“Namun kerja-kerja melombong tetap diteruskan di mana Kuleshwar (anak lelakinya) berada dan selepas itu tragedi runtuhan berlaku,” tambah beliau. – AFP