Pekerja restoran mesti dapatkan vaksin lengkap

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Para pekerja restoran adalah dimestikan untuk mendapatkan suntikan vaksin yang lengkap sebelum dibenarkan beroperasi semula semasa fasa peralihan dan sekiranya didapati tidak mematuhi peraturan tersebut, mereka boleh dikenakan saman di bawah akta penyakit berjangkit.

Perkara tersebut adalah antara yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.

Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan kebenaran semasa fasa peralihan adalah terhad kepada restoran yang menawarkan perkhidmatan yang menyajikan makanan secara berasingan dan tersedia di mana perkhidmatan secara bufet adalah masih belum dibenarkan.

Bermula 19 November, negara akan beralih ke fasa peralihan di mana orang ramai yang telah melengkapkan vaksinasi mereka akan dibenarkan untuk makan di restoran-restoran dengan had kapasiti pengunjung dan pelanggan hanya dibenarkan 50 peratus daripada kapasiti penuh sesebuah premis tersebut.

Kebenaran jumlah kapasiti 50 peratus tersebut adalah hanya bagi pengunjung atau pelanggan sahaja dan tidak termasuk para pekerja di restoran tersebut.