Pekerja telekom terbunuh dalam serangan udara AS

MOGADISHU, SOMALIA, 26 FEB – Serangan udara tentera Amerika Syarikat (AS) telah membunuh seorang pekerja sebuah syarikat telekomunikasi di Somalia, kata pegawai di negara itu semalam.

Mohamud Haji Sirad, 55 tahun, pengurus tempatan Hormuud, syarikat telekomunikasi terbesar di Somalia, terbunuh apabila dua peluru berpandu meletup di ladangnya di pinggir bandar Jilib yang dilancarkan baru-baru ini, kata pegawai Somalia.

Kedua-dua Pusat Ketumbukan AS Afrika dan kerajaan Somalia mengatakan serangan udara membunuh seorang ahli kumpulan pengganas al-Shabab yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Tetapi pegawai di Hormuud mengatakan serangan udara itu membunuh pengurus tempatan mereka di Jilib.

Seorang pegawai risikan Somalia berkata lelaki yang disasarkan oleh serangan udara itu telah diawasi oleh kumpulan keselamatan, tetapi beliau enggan mengesahkan sama ada pegawai menyedari bahawa sasaran mereka adalah pekerja telekom itu.

Seorang pekerja telekomunikasi Somalia terbunuh akibat serangan peluru berpandu AS di Jilib. -Agensi

Pegawai itu bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan kerana dia tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Pihak berkuasa Somalia telah lama menuduh beberapa ahli perniagaan mempunyai hubungan dengan al-Shabab, yang memeras ugut sejumlah wang dari perniagaan untuk membiayai aktivitinya di negara Afrika.

Kenyataan Pusat Ketumbukan AS Afrika berkata “pada masa ini kami menilai tiada orang awam yang cedera atau terbunuh akibat serangan udara ini” yang dilakukan dengan penyelarasan bersama kerajaan Somalia.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pusat Ketumbukan AS Afrika berkata serangan udara yang dilancarkan pada Sabtu lalu telah membunuh seorang pemimpin tertinggi al-Shabab yang dikaitkan dengan serangan kumpulan itu pada Januari lalu ke atas lapangan terbang tentera di Kenya yang membunuh seorang tentera AS dan dua kontraktor AS serta memusnahkan beberapa pesawat udara AS.

Lelaki itu merancang dan mengarahkan operasi di wilayah sempadan antara Kenya dan Somalia, kata kenyataan, menambah bahawa isterinya, juga anggota al-Shabab, terbunuh.

AS berkata ia menjalankan 63 serangan udara di Somalia pada tahun lalu, satu dozen ke atas al-Shabab. – AP