Pekerja wanita mati dibaham singa

JOHANNESBURG, 9 FEB – Singa membaham dan membunuh seorang wanita berusia 21 tahun di hutan simpanan Afrika Selatan di mana dia bekerja dan tinggal, kata polis semalam.

Wanita itu, dikenali sebagai Swans Van Wyke, diserang pada petang Khamis ‘ketika menjalankan tugas’ di hutan simpanan di utara wilayah Limpopo, kata polis.

Masih tidak jelas sama ada dia digaji sebagai renjer atau pekerja di darat.

Jurucakap polis serantau Kolonel Moatshe Ngoepe berkata polis dan perkhidmatan kecemasan menemui wanita itu dengan kecederaan serius di luar kurungan singa.

“Kami masih menyiasat, kami berusaha keras untuk mencari punca kejadian, kami tidak dapat memberikan butir-butir lanjut sekarang,” beritahu Ngoepe kepada AFP.

Afrika Selatan mempunyai 8,000 ekor singa dalam kurungan yang sedang dibiak untuk pemburuan, perniagaan tulang, pelancongan dan penyelidikan akademik, menurut anggaran oleh kumpulan hidupan liar.

Secara perbandingan, hanya terdapat 3,000 ekor singa dalam hutan, tinggal di taman negara di mana pemburuan diharamkan.

Singa dikelaskan sebagai spesies ‘mudah terancam’ oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN). – AFP