Pekerjaan digital penting dalam pemulihan COVID-19

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Kepentingan pekerjaan digital bagi membantu pemulihan sesebuah negara daripada kesan jangkitan COVID-19 disentuh pada Forum Belia ASEAN ke-11 secara maya yang diadakan kelmarin bertemakan ‘Pekerjaan, Kemahiran dan Masa Depan Pekerjaan.

Negara Brunei Darussalam turut menyertai bengkel tersebut yang dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman yang juga pengerusi ASEAN Business Advisory Council (BAC). Beliau pada sidang itu berkongsi peluang pekerjaan dan perantisan di ASEAN melalui ASEAN-BAC Legacy Project HIRED, yang akan memainkan peranan penting dalam membantu pemulihan kesan daripada COVID-19 bagi mengukuhkan keupayaan modal insan ASEAN dalam masa depan pekerjaan dan digitalisasi.

Forum turut disertai penasihat perniagaan berpusat di London, Jayashree Sadanandan yang berkongsi trend pekerjaan di peringkat global dan rantau ASEAN bertumpukan pekerjaan digitalisasi.

Menurutnya, peluang-peluang pekerjaan secara jarak jauh membolehkan para belia di ASEAN mencari pekerjaan di negara lain tanpa meninggalkan negara mereka. Walau bagaimanapun, beliau menekankan perlunya para belia untuk terus rajin berusaha khususnya meningkatkan diri dalam upskilling dan reskilling bagi mendapatkan peluang-peluang tersebut. Ahli forum lain, Pengarah Centre for Inclusive Digital Economy di Institut Vision Asian, Siriwat William Chem dari Kemboja, turut mengongsikan kaedah meneroka peluang kerjaya baharu yang tidak akan selalunya didapati dengan satu cara sahaja dan betapa pentingnya untuk terus meneroka ilmu pengetahuan baharu dan belajar agar tidak ketinggalan dengan peredaran semasa.

Pengarah ASEAN and Corporate Affairs, Majlis Perniagaan ASEAN UK, Allen Lai menjadi moderator forum tersebut.

Ia turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, selaku presiden Majlis Belia Brunei.

Forum Belia ASEAN ke-11 yang diadakan secara maya kelmarin. – Gambar serahan Majlis Belia Brunei