ARAU – Peknga adalah singkatan kepada nama ‘tempek di belanga’ merupakan makanan cukup popular di negeri Utara Malaysia, biasanya dibuat bagi menghabiskan lebihan gulai semalam untuk dicicah bersama.
Pengusaha Warung Teratak Bonda, Nur Ashikin Abd Rahman, 28, berkata peknga merupakan menu sarapan yang digemari pelanggan beliau, dan ada juga yang datang dari luar Perlis, untuk mencuba makanan itu.
“Kami hidangkan Peknga yang masih panas kepada pelanggan di sini, ia lebih sedap dimakan ketika masih panas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata Peknga diperbuat daripada bahan yang sangat mudah didapati iaitu tepung gandum, minyak masak, kelapa parut, gula, garam dan air, biasanya dihidang bersama dengan gulai ikan, tetapi ada juga pelanggannya yang akan minta untuk menukar kepada sambal ikan bilis atau sardin.
Katanya di Perlis, makanan itu juga sering mendapat permintaan untuk minum petang oleh pelanggannya. – Bernama