Pelabur antarabangsa yakin potensi M’sia

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Masih terdapat minat yang tinggi daripada komuniti perniagaan antarabangsa terhadap Malaysia walaupun wujud suara-suara mengenai ekonomi negara ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Komuniti perniagaan mengiktiraf daya tahan ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan dan mereka mempunyai keyakinan yang kukuh bahawa negara akan terus mencatat prestasi yang baik, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat beberapa syarikat antarabangsa yang telah menyatakan minat untuk memainkan peranan lebih aktif dalam usaha membuka potensi Malaysia dalam bidang Internet of Things dan Ekonomi Digital.

Ekonomi digital merupakan antara bidang keutamaan yang dikenal pasti bagi pertumbuhan ekonomi akan datang, kata Mustapa, yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dari 17-20 Jan. – Bernama