KUALA LUMPUR, 20 Jan – Saham di Bursa Malaysia diniagakan bercampur-campur pada pembukaan hari ini, dengan kebanyakan pelabur menunggu di luar pasaran berikutan situasi tidak menentu dan berhati-hati menjelang majlis pelantikan Donald Trump malam ini.
Pada 9.18 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 1.13 mata pada 1.665.38, selepas dibuka 1.35 mata lebih rendah pada 1,665.16.
Indeks ditutup 1,666.51 mata semalam. Seorang peniaga, bagaimanapun yakin bahawa pasaran akan mengekalkan momentum kenaikan semalam memandangkan kuasa beli lebih kukuh berbanding tekanan jualan.
“Analisis tindakan pasaran keseluruhan semalam menunjukkan bahawa kuasa beli lebih teguh berbanding tekanan jualan. Berikutan itu, FBM KLCI dijangka diniagakan di atas paras 1,667.23 hari ini,” katanya.
Indeks FBM Emas berada 1,939 mata lebih tinggi pada 11,689.06 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 11.17 mata kepada 12,184.05.
Bagaimanapun, Indeks FBMT100 turun 0.94 mata kepada 11,390.3. FBM 70 menokok 24.78 mata kepada 13,422.86, manakala FBM Ace susut 17.02 mata kepada 4,994.33.
Dalam kalangan saham mewah, Maybank, TNB dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM8.25, RM13.88 dan RM7.19.
Public Bank susut enam sen kepada RM20.04 dan Sime Darby jatuh satu sen kepada RM8.53. – Bernama
































