Pelabur digesa teroka industri di Fiji

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Para pelabur Malaysia perlu memanfaatkan industri pelancongan dan hospitaliti Fiji dengan meneroka peluang yang disediakan dalam pasaran itu, kata Pesuruhjaya Tinggi Fiji ke Malaysia, Kolinio Takali.

“Saya ingin melihat lebih banyak pelabur Malaysia di Fiji. Meskipun terdapat kehadiran pelabur Malaysia yang ramai dalam bidang peruncitan, kewangan dan pembinaan, mereka harus mempertimbangkan industri pelancongan dan hospitaliti kami secara serius,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di suruhanjaya itu di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-48 Fiji yang berlangsung di sini semalam.

Takali berkata hubungan dua hala sedia ada yang mesra antara Suva dan Kuala Lumpur akan menjadi platform terbaik kepada pelabur tempatan untuk turut menembusi peluang perniagaan dalam pelbagai sektor yang berkaitan dengan industri itu, selain sekadar menjadi pasaran percutian tradisional.

“Peluang juga wujud dalam lingkungan fasiliti Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) serta segmen kepentingan khusus seperti pelancongan sukan dan pelayaran,” katanya sambil menambah bahawa sektor pelancongan adalah penyumbang pertukaran asing terbesar ketika ini di negara pulau yang terletak di Pasifik Selatan itu.

Bagi tahun 2017, pendapatan Fiji daripada pelancongan berjumlah AS$1.8 bilion, meningkat sebanyak 12.3 peratus berbanding angka pada 2016 iaitu kira-kira AS$1.6 bilion. Setakat ini, Takali berkata syarikat Malaysia yang berjaya dalam bidang pelancongan di Fiji, rangkaian Hotel Shangri-La, beroperasi sebagai Pusat Peranginan dan Spa Shangri-La Fiji. – Bernama