KOTA KINABALU, 7 Ogos – Jumlah pelaburan terkini yang diterima oleh Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Sandakan ialah sebanyak RM335 juta yang mana sebahagian besarnya daripada syarikat swasta, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah.
Raymond yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata pelaburan tersebut meliputi kilang penapis minyak sawit bersama loji biodiesel, kemudahan ‘bulking’ dan kemudahan jeti minyak dilengkapi dengan kemudahan punggah isirung minyak sawit.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chan Foong Hin (DAP-Sri Tanjong) yang ingin tahu status perkembangan pelaburan di POIC Sandakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Raymond berkata pada masa depan, POIC Sandakan bakal menerima pelaburan dalam pembinaan loji jana kuasa elektrik dengan nilai pelaburan dianggarkan berjumlah RM2.4 bilion daripada syarikat swasta. – Bernama