PARIS, 6 JUN – Lebih banyak dana sedang disalurkan ke dalam tenaga solar berbanding semua sumber elektrik lain yang digabungkan, dengan pelaburan dijangka mencecah setengah trilion dolar tahun ini, kata badan penyelidikan tenaga terkemuka dunia, hari ini.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) meramalkan dalam satu laporan pelaburan global dalam tenaga bersih tahun ini akan mencecah AS$2 trilion, dua kali ganda jumlah yang disalurkan kepada bahan api fosil.
Laporan itu menyatakan bahawa pelaburan gabungan dalam tenaga boleh diperbaharui dan grid mengatasi jumlah yang dibelanjakan untuk bahan api fosil buat kali pertama pada tahun 2023.
“Pelaburan tenaga bersih mencatat rekod baharu walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar, menekankan momentum di sebalik ekonomi tenaga global baharu,” kata pengarah eksekutif IEA, Fatih Birol, dalam satu kenyataan yang mengiringi laporan tahunan Pelaburan Tenaga Dunia agensi tersebut.
Syarikat dan kerajaan di seluruh dunia telah menambah perbelanjaan untuk pengeluaran tenaga bersih bagi mengurangkan pelepasan karbon dari pembakaran bahan api fosil yang mencetuskan perubahan iklim yang berbahaya.
Laporan itu berkata penambahbaikan rantaian bekalan dan kos yang lebih rendah mampu meningkatkan pelaburan dalam bentuk tenaga bersih yang merangkumi panel solar, turbin angin, kereta elektrik dan pam haba serta penjanaan kuasa nuklear.
Pelaburan gabungan dalam tenaga boleh diperbaharui dan nuklear untuk penghasilan elektrik kini dijangka mencapai 10 kali ganda jumlah yang disalurkan kepada tenaga yang menggunakan bahan api fosil, dipimpin oleh tenaga solar, di mana China melabur bahagian terbesar. – AFP