Pelacuran: Dua wanita asing dicekup

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Dua orang wanita warga asing dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral telah dicekup Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kelmarin di sebuah bilik apartmen di kawasan Bandar Seri Begawan.

Serbuan ke atas kegiatan kedua-duanya dijalankan pada jam 1:29 petang yang dikendalikan oleh pegawai dan anggota dari Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB.

Kedua-dua suspek berusia 28 dan 62 tahun disyaki menawarkan khidmat seks kepada orang ramai.

Hasil pemeriksaan juga menemui barangan bukti seperti telefon bimbit, kepingan kondom dan wang tunai di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan aktiviti itu.

Kedua-duanya ditahan dan dibawa menjalani ujian saringan, seterusnya akan disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan kegiatan tidak bermoral atau memberikan khidmat seks yang merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang di negara ini.

PPDB juga menyeru orang ramai menyalurkan maklumat jika mengetahui kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan kepada polis dengan menelefon talian kecemasan 993 atau melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran.

Antara bahan bukti yang ditemui semasa serbuan dijalankan.
Sebahagian wang tunai yang ditemui semasa serbuan berkenaan.