Peladang Australia berdepan serangan tikus perosak

DUBBO, AUSTRALIA – Selepas berjaya menempuh kemarau selama bertahun-tahun, peladang di timur Australia kini dalam pertarungan selama berbulan-bulan dengan serangan tikus perosak yang membanjiri ladang-ladang dan merosakkan tanaman.

Col Tink, seorang peladang, menggunakan penyapu untuk menyapu ratusan tikus ke dalam perangkap yang telah diubahsuai – asalnya adalah sebuah tab mandi besar di mana tikus-tikus tersebut lemas.

Ia adalah langkah mudah untuk memperlahankan wabak yang membadai ladangnya – terletak berhampiran dengan sebuah pekan di perkampungan Dubbo – dan ribuan ladang lain sepertinya di seluruh timur Australia.

Tetapi usaha dilakukan Tink kurang mendatangkan kesan. Tikus perosak masih terus merosakkan bijirin dan rumput kering sementara segala yang boleh dimakan sentiasa menjadi sasaran haiwan tersebut.

Video memaparkan jumlah tikus yang banyak telah dikongsikan di seluruh dunia berserta laporan hospital mengenai pesakit yang digigit, mesin musnah dan kumpulan tikus yang melintas jalan dengan jumlah tak terkira.

Col Tink menyapu ratusan tikus ke dalam perangkap yang telah diubahsuai ke dalam sebuah tab mandi besar. – AFP

Tanaman dan haiwan ternakan sering menjadi sasaran tikus perosak yang kini menjadi masalah baharu bagi peladang di Australia. – AFP

Serangan wabak ini adalah bencana terkini melanda peladang di Australia. Kemarau selama setahun disusuli dengan kebakaran hutan selama berbulan-bulan pada lewat 2019, sebelum hujan menyebabkan kejadian banjir di beberapa kawasan.

“Ayah saya masih hidup, dia berusia 93, dan ini merupakan tempoh tiga tahun terburuk yang pernah dia alami, dan saya rasa ini mungkin serangan tikus paling buruk,” kata Tink, yang mengendalikan kebanyakan ternakan ternakan lembu Brahman.

Tetapi prospek wabak ini berterusan sehingga bahagian selatan pada musim sejuk membuatkan dia risau dengan persediaan menjelang musim kering akan datang.

“Jika musim sejuk ini tidak terlalu sejuk dan musim sejuk yang basah, saya hanya merasa sedikit risau mengenai apa yang akan berlaku pada musim bunga,” peladang berusia 65 tahun itu memberitahu AFP.

Keadaan sekarang tidak terlalu bagus, menurut Steve Henry, seorang pegawai penyelidik di agensi sains kebangsaan Australia, CSIRO.

“Apabila wabak tikus berakhir, ia hanya akan menghilang sekelip mata,” kata Henry, yang mengkaji tentang haiwan perosak di Australia selama hampir tiga dekad.

“Kita setakat ini tidak menyaksikannya.”

Tikus adalah haiwan perosak liar, tiba bersama dengan penjajah pertama Britain.

Haiwan kecil ini hampir sempurna untuk menyesuaikan dengan ledakan alam semula jadi dan merosakkan pertanian di iklim Australia, ini bermakna wabak seperti ini bukan sesuatu yang biasa.

Tetapi jumlah pada tahun ini ‘sangat luar biasa’, menurut Terry Fishpool, 74, seorang pengeluar bijirin berhampiran Tottenham.

Sejumlah besar tikus perosak dilaporkan seawal bulan Oktober, dengan jumlah populasi meningkat disebabkan oleh peningkatan tanaman selepas kemarau teruk.

Bill Bateman, pembantu profesor di Universiti Curtain di Barat Australia, berkata wabak tikus gergasi dilihat berlaku sekali setiap satu dekad, tetapi perubahan iklim mungkin menyebabkan ia berlaku lebih kerap.

“Jika kami tidak lagi banyak mengharungi musim sejuk, akan menyebabkan kami seolah-olah menyediakan sumber makanan untuk tikus sepanjang tahun, kemudian ia akan menjadi perkara yang kerap berlaku berbanding masalah bermusim,” kata Bateman.

Dengan masalah serangan tikus masih berleluasa, kerajaan telah mengumumkan jutaan dolar bagi membantu dan memberikan lebih banyak racun. Belum lagi diluluskan, bromadiolone berfungsi lebih pantas berbanding umpan zink fosfida tetapi ia kekal lebih lama dalam sistem badan tikus yang mati atau yang hampir mati.

Pakar risau bahawa ia berpotensi membunuh hidupan liar tempatan yang memakan racun tikus.

“Mereka menggunakan racun tikus generasi kedua yang sangat membimbangkan,” kata Bateman yang bekerja di fakulti molekul dan kehidupan sains. – AFP