KANDAHAR, Afghanistan – Duduk berhadapan komputer di salah sebuah bilik darjah dan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris bersama dengan tutornya yang berada beribu batu jauhnya dari Kanada, Anahita berbisik dengan bangganya bahawa dia telah menerima pendidikan dalam talian bersama guru-gurunya yang berada di Amerika Syarikat dan Kanada setiap hari.
“Masa telah berubah dan ternyata bahawa pendidikan sangat penting buat wanita dalam membangun pembangunan Afghanistan,” kata Anahita kepada Xinhua semasa berada dalam bilik darjahnya baru-baru ini.
Berpakaian tradisional, Anahita berusia 19 tahun, yang menggunakan aplikasi Skype untuk bercakap dengan tutornya yang berada di luar negara, menyeru agar semua wanita di Kandahar dan Afghanistan pada umumnya untuk dibenarkan belajar dan berkhidmat kepada negara.
“Saya datang ke sini setiap hari dan selalu menghadiri kelas-kelas yang terdapat di dalam pusat pendidikan dalam talian ini, untuk meningkatkan pengetahuan saya dan saya menyeru kepada semua wanita agar melakukan perkara yang sama, kerana pembangunan dan kemajuan Afghanistan bergantung kepada pendidikan wanita,” katanya, sambil menambah bahawa dia dan rakan sekelasnya bersyukur atas bantuan daripada Kandahar Institute of Modern Studies (KIMS).
KIMS adalah pusat pendidikan swasta yang telah beroperasi sejak beberapa tahun yang lalu di tempat kelahiran Taliban, Kandahar. Ia memberikan kemudahan pendidikan kepada kaum wanita dan kanak-kanak perempuan di sana melalui sistem dalam talian bersama dengan guru-guru yang berada di AS dan juga Kanada.


Militan Taliban, yang muncul di wilayah selatan Kandahar pada tahun 1990-an dan memperluas pemerintahan mereka pada hampir 90 peratus kawasan Afghanistan sehingga lemah pada akhir tahun 2001, telah mengharamkan pendidikan buat kanak-kanak perempuan dan wanita di rumah-rumah mereka.
Tidak syak lagi, ia adalah impian bagi setiap kanak-kanak perempuan dan lelaki di Kandahar, bekas kubu kuat Taliban, untuk pergi ke sekolah suatu hari nanti, kata Hassina, seorang pelajar KIMS yang berusia 20 tahun.
“Tidak syak lagi, ia adalah satu impian bagi kami untuk melihat Kandahar yang aman dan pergi ke sekolah suatu hari nanti. Kami bersyukur kepada Tuhan bahawa kini kami telah mengecapi keamanan di Kandahar dan dapat mengikuti pembelajaran dalam talian menerusi penggunaan Skype dan pelbagai alat kemudahan Internet lainnya,” kata Hassina.
“Kami kini hidup dalam keamanan dan guru-guru luar negara, yang berada jauh beribu batu, telah mendidik kami menerusi dalam talian yang setaraf dengan peringkat antarabangsa,” kata Hassina yang merasa gembira.
Kandahar, yang pernah menjadi bandar keagamaan militan Taliban, telah mengalami serangan berdarah pengganas dari serangan berani mati, pengeboman kereta, pembunuhan atau serangan yang disasarkan kepada orang awam, dan kanak-kanak perempuan mengalami serangan asid, selama lebih dari satu dekad.
Walau bagaimanapun, keadaan itu telah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan Kandahar kini telah dianggap sebagai salah sebuah wilayah yang aman di Afghanistan.
Guru-guru dari Kanada dan AS, menurut Ahsanullah Ahsan, ketua KIMS, telah mengajar pelajar-pelajar ini dengan kemudahan dalam talian di Kandahar secara percuma dan setakat ini 550 kanak-kanak perempuan telah mendapat faedah melalui projek itu.
Pusat pendidikan dalam talian KIMS di Kandahar berharap agar ia dapat memperluaskan kegiatan aktivitinya di masa hadapan, kata Ahsan dengan perasaan optimis. – Xinhua