Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Pelajar Afrika kejar ilmu perubatan hingga ke China

    TIANJIN – Setelah menjadi pelatih di salah sebuah hospital terkemuka di bandar pelabuhan Tianjin di utara China selama hampir setahun, Mahamat Hamid Mahamat, seorang calon PhD dalam pembedahan saraf, berkata dia semakin hampir mencapai impiannya setiap hari.

    Mahamat, 33, berazam untuk menjadi doktor di negara asalnya, Republik Chad di Afrika tengah, selepas menamatkan pengajian di Universiti Nankai terkemuka di bandar itu.

    Pelajar Afrika itu bercita-cita untuk menimba ilmu perubatan di China sejak kecil kerana kagum dengan keramahan dan kebolehan pasukan perubatan China yang dihantar ke negaranya beberapa dekad lalu.

    Sejak 1978, 17 pasukan perubatan dari China telah dihantar ke negara Afrika untuk kerjasama perubatan dan bantuan dalam sektor kesihatan.

    Mahamat berkata pasukan perubatan ini amat dihormati di Chad kerana mereka sering melakukan perjalanan jauh ke kampung terpencil untuk melawat pesakit.

    Dari 2000 hingga 2020, China juga menyediakan kira-kira 120,000 biasiswa kerajaan untuk membantu bakat muda Afrika yang cemerlang untuk melanjutkan pengajian mereka di China.

    Mahamat merupakan salah seorang yang mendapat manfaat daripada program tersebut.

    Mula-mula mendaftar di Universiti Jiamusi di Wilayah Heilongjiang timur laut China pada 2011, Mahamat mengembara ke seluruh negara untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dia kemudiannya dimasukkan ke Universiti Lanzhou di barat laut China.

    Kini fasih berbahasa Cina, Mahamat mempunyai jadual yang padat setiap hari dan sering bekerja lebih masa semasa latihan di Hospital Tianjin Huanhu untuk membiasakan diri dengan pesakitnya secepat mungkin.

    Bercerita tentang rakan-rakannya yang berkongsi pengalaman pendidikan sama tajaan China, Mahamat berkata mereka yang memilih jurusan termasuk jentera, kejuruteraan awam, dan petrokimia kebanyakannya sudah pulang ke negara mereka dan membuat sumbangan sendiri.

    Walaupun beberapa tahun sebelum tamat pengajiannya, Mahamat kerap berkongsi ilmu perubatan di media sosial bersama orang ramai.

    “Tiada jarak tempat atau luput masa yang boleh mengurangkan ketaatan saya kepada negara dan rakyat saya,” katanya.

    Mahamat menambah, beliau sentiasa diilhamkan oleh semangat persahabatan dan kerjasama China-Afrika, yang dianggapnya sebagai persahabatan yang ikhlas, layanan sama rata, manfaat dan pembangunan bersama, keadilan, keterbukaan serta toleransi. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...