Pelajar agen pembaharuan Industri Halal

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Industri halal kini semakin berkembang pesat di serata dunia, di mana walaupun ia merupakan sebuah industri yang baharu, banyak pihak yang berminat untuk mendalami industri halal terutamanya dalam kalangan pihak industri dan pengguna sesuatu produk. 

Oleh itu, pusat-pusat pengajian tinggi dan para pendidik dalam bidang ini perlu mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar bagi melahirkan pelajar-pelajar yang berinovasi, kreatif dan cemerlang sesuai dengan keperluan dan aspirasi negara. 

Justeru, untuk mencapai sasaran tersebut, para pelajar daripada bidang industri halal merupakan agen pembaharuan dalam menghasilkan idea yang kreatif dan inovatif untuk membantu meningkatkan kualiti dan produktiviti sektor pengurusan industri halal sama ada di peringkat Asia atau di peringkat global.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Pengarah di Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dalam ucapannya selaku tetamu kehormat semasa program yang bertajuk New Generation Ideas for Halal Products and Services: Local Go Global.

Program berkenaan merupakan anjuran bersama di antara Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA Shah Alam Malaysia.

Turut hadir semasa program tersebut ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Akadmeik, Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA Shah Alam Malaysia, Profesor Madya Dr Amal Hayati binti Ishak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, empat kumpulan pembentang dari kedua-dua universiti telah mengongsikan idea mereka berkenaan produk dan servis yang sesuai untuk pembangunan industri halal.

Antaranya adalah mencipta scrub daripada buah-buahan tempatan Brunei seperti manggis dan rambutan, membangun laman web untuk produk yang sudah diiktiraf halal dan membina aplikasi bagi mengenal pasi fungsi setiap bahan kandungan dalam sesuatu produk.  Program itu adalah salah satu cara bagi mengeratkan hubungan dan jaringan akademik antara institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Antara yang mengikuti program dalam talian antara Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban UNISSA dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA Shah Alam. – Gambar serahan UNISSA