Pelajar AS bawa kes Israel ke mahkamah

TEL AVIV, 11 Okt – Seorang pelajar Amerika Syarikat (AS) yang dilarang daripada masuk ke Israel kerana menyokong boikot pro Palestin terhadap negara itu tampil di mahkamah, hari ini untuk mencabar keputusan tersebut.

Ia adalah kes terbaharu terhadap undang-undang Israel yang melarang penyokong boikot dan pengkritik menyifatkan larangan itu bertentangan dengan hak kebebasan bersuara.

Pihak berkuasa Israel juga dalam tekanan sejak beberapa bulan lalu mengenai soal siasat ‘bermotifkan politik’ terhadap warga asing tertentu yang mahu masuk ke negara itu.

Lara Alqasem, 22, tiba di lapangan terbang Ben-Gurion, Israel pada 2 Oktober lalu untuk menjalani pengajian peringkat sarjana di Universiti Hebrew Baitulmaqdis, namun dia tidak dibenarkan masuk. Dia ditahan di kemudahan imigresen dengan memilih untuk mencabar larangan kemasukan itu daripada balik ke AS.

Pada Mac 2017, parlimen Israel meluluskan undang-undang melarang kemasukan penyokong pergerakan boikot, menarik balik pelaburan dan pemulauan pro Palestin (BDS) hasil inspirasi langkah terhadap Afrika Selatan, sebelum kejatuhan aparteid.

Alqasem yang dilaporkan berketurunan Palestin, juga merupakan presiden kepada kumpulan Pelajar untuk Keadilan di Palestin, ketika menjalani pengajian di Universiti Florida. Kumpulan itu menyokong kempen boikot menentang Israel.

Alqasem dilaporkan berkata, sejak itu, dia menjauhkan diri daripada pergerakan dan penyokong terbabit untuk menunjukkan kerelaannya masuk ke Israel bagi menyambung pengajian. – AFP