Pelajar Australia buat penyelidikan di Ulu Temburong

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Seramai 22 orang pelajar dari University of the Sunshine Coast dan Charles Darwin University, Australia telah mengadakan lawatan ke Taman Negara Ulu Temburong, minggu lalu, sebagai sebahagian daripada New Colombo Plan, kerajaan
Australia.

Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam dalam kenyataannya, hari ini, menyatakan bahawa dengan sokongan Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar Universiti Brunei Darussalam (UBD), pelajar-pelajar sains alam sekitar berkenaan menjalankan projek penyelidikan selama seminggu di Temburong.

Mereka mencari tumbuhan-tumbuhan dan haiwan unik yang terdapat dalam hutan asli sekitar Pusat Penyelidikan Lapangan Kuala Belalong dan memasang perangkap kamera dengan harapan melihat landak dan pelanduk yang sukar ditangkap.

Para pelajar berkenaan juga mengira jenis tumbuhan pinanga berlainan yang unik di Borneo sebagai sebahagian daripada projek jangka masa panjang.

Kenyataan menyatakan, New Colombo Plan itu bermatlamat untuk mengukuhkan kerjasama di Indo-Pasifik dengan menyokong pelajar-pelajar Australia untuk belajar dan menjalani penempatan di seluruh rantau ini, melengkapi beribu-ribu pelajar dari rantau ini yang memilih untuk belajar di Australia setiap tahun.

Antara 2015 dan 2020, lebih 150 orang pelajar pelan berkenaan telah berkunjung ke Brunei.

Pelajar-pelajar Australia ketika membuat penyelidikan di Pusat Penyelidikan Lapangan Kuala Belalong.
Para pelajar mendaki bukit untuk membuat penyelidikan.